KUALA LUMPUR 2 Mac - Kenanga Research menyemak semula unjuran harga minyak mentah Brent tahun ini lebih tinggi kepada AS$90 setong daripada AS$65 sebelum ini selepas krisis Ukraine-Rusia melonjakkan harga komoditi itu melebihi AS$100 ekoran kebimbangan gangguan bekalan.
Dalam nota kajian hari ini, penganalisisnya, Steven Chan berkata, Rusia menyumbang kira-kira 10% bekalan minyak global dan ini mengimbangi jangkaan sedikit lebihan bekalan global pada 2022 di bawah senario status quo 'tanpa perang'.
"Pada masa sama, pakatan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) dijangka terus berpegang kepada peningkatan bekalan yang dirancang sebanyak 400,000 tong sehari.
"Sasaran ini ditetapkan tanpa rancangan untuk meningkatkan lagi pengeluaran (sekurang-kurangnya buat masa ini), yang boleh memburukkan lagi kebimbangan gangguan bekalan global," jelasnya.
Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor minyak dan gas (O&G) dengan melihat Petronas Chemical Bhd. dan Hibiscus Petroleum Bhd. sebagai penerima manfaat daripada kenaikan harga minyak ini.
Sementara itu, Dayang Enterprise Holdings Bhd. dan Uzma Bhd. pula meraih kelebihan dalam pemulihan aktiviti di dalam negara apabila Petronas meningkatkan perbelanjaan modal (capex) pada masa akan datang.
Dalam laporan kewangan Petronas yang diumumkan semalam, capex kumpulan pada 2021 berjumlah RM30.5 bilion dengan kebanyakannya tertumpu kepada projek huluan.
Jumlah itu adalah lebih rendah berbanding RM33 bilion pada 2020, dan tempoh 2 tahun ini merupakan capex terendah yang dibelanjakan oleh syarikat setakat ini dalam lebih 2 dekad.
Baca : Petronas kembali raih untung RM48.6 bilion bagi 2021
Petronas menjelasnkan, keadaan itu disebabkan projeknya terjejas oleh sekatan pergerakan yang berpanjangan ditambah dengan gangguan rantaian bekalan, menyebabkan kumpulan tidak dapat mengeluarkan perbelanjaan modal seperti yang dirancang sebelum itu.
Namun begitu, dengan pembukaan semula sempadan dan kelonggaran perjalanan, aktiviti kembali meningkat sejak awal 2022.
Menurut Chan, capex Petronas dijangka kembali normal sekitar RM40 hingga RM50 bilion tahun ini dengan pemulihan boleh dilihat seawal separuh pertama.
Berdasarkan agenda peralihan tenaganya, kumpulan itu juga memberi panduan kira-kira 20% daripada capex untuk 5 tahun akan datang diperuntukkan untuk tenaga baharu dan inisiatif karbon sifar.
"Tetapi, kami menjangkakan perbelanjaan huluan kekal menjadi fokus utama pelaburannya," tambahnya.
Mengenai bayaran dividen, beliau berkata, kumpula telah membayar sejumlah RM25 bilion pada 2021, iaitu tahun ketiga yang menyaksikan penurunan.
"Sejajar dengan kenaikan harga minyak, kami juga menjangkakan bayaran ini kekal pada tahap tahun ke tahun bagi 2022, disokong kedudukan tunai bersih yang kukuh kira-kira RM67 bilion," jelasnya.
Petronas kembali mencatat keuntungan bersih sebanyak RM48.6 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 berbanding kerugian bersih RM21 bilion yang direkodkan pada tahun sebelumnya.
Prestasi kumpulan yang kukuh itu disokong oleh lonjakan harga komoditi yang dipacu permintaan tenaga global apabila ekonomi dibuka semula dengan kadar vaksinasi lebih tinggi di seluruh dunia.
Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021, kumpulan merekodkan untung bersih sebanyak RM13.4 bilion pada suku berkenaan berbanding kerugian bersih RM1.1 bilion bagi tempoh sama 2020. - DagangNews.com