KUALA LUMPUR 1 Mac - CGS-CIMB Research menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) kekal tinggi dalam tempoh terdekat melebihi paras yang diunjurkannya sekitar RM4,100 satu tan metrik pada 2022.
Ini berikutan gangguan eksport minyak bunga matahari dari Ukraine setelah memuncaknya konflik antara Rusia dan Ukraine.
Menurut firma itu, pembelian panik oleh pengguna untuk menampung kekurangan sementara bekalan minyak makan dari Ukraine mungkin berterusan sehingga keadaan bertambah baik, justeru, memberi manfaat kepada minyak sawit dan minyak kacang soya.
Namun, katanya, harga semasa yang tinggi mungkin akan mengalami pembetulan dengan ketara sekiranya resolusi dicapai dan perdagangan minyak boleh dimakan disambung semula.
"Kami percaya harga minyak sawit telah mengambil kira beberapa premium untuk mencerminkan risiko geopolitik sebelum konflik Rusia-Ukraine.
"Harga premium ini berkembang berikutan pencerobohan Ukraine, kerana harga MSM dalam pasaran niaga hadapan meningkat mendadak sebanyak 8% pada 24 Februari lalu.
"Bagaimanapun, pada 25 Februari lalu, harga MSM ini susut 7.5% apabila pasaran bimbang mengenai gangguan permintaan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Perang berterusan ini menyebabkan beberapa loji penghancur bunga matahari dan pelabuhan di Ukraine ditutup dan telah menjejaskan pengeluaran dan eksport minyak bunga matahari dan makanan.
Ukraine merupakan pengeluar dan pengeksport minyak bunga matahari dengan menguasai 47% daripada eksport global, manakala Rusia menguasai 29.9% pasaran.
Kedua-dua negara ini menyumbang sebanyak 60% daripada pengeluaran minyak bunga matahari global pada 2020 hingga 2021.
Minyak bunga matahari ialah minyak sayuran ketiga paling banyak didagangkan di dunia selepas minyak sawit dan kacang soya.
Oil World sebelum ini menjangkakan Ukraine akan mengeksport 4.29 juta tan minyak bunga matahari bagi tempoh Februari hingga September 2022.
Bagaimanapun, menurut CGS-CIMB, dengan penutupan operasi berkenaan di Ukraine, pembeli perlu meninjau destinasi lain untuk mengisi kekosongan bekalan buat sementara waktu terutamanya minyak sawit dan minyak kacang soya.
"Ketidaktentuan juga kekal mengenai tempoh masa yang diperlukan untuk eksport Ukraine disambung semula dan jika akan ada sekatan perdagangan ke atas eksport Rusia.
"Kebimbangan lain termasuklah harga baja, yang boleh meningkatkan kos pengeluaran terhadap pengeluar minyak sawit pada separuh kedua 2022.
"Ini kerana Rusia menyumbang 13% daripada perdagangan global pengantara baja utama dan hampir 16% daripada perdagangan global baja siap utama," jelasnya.
Firma itu juga mendapati harga MSM juga akan terus disokong dengan kemungkinan pengurangan dalam mandat biodiesel.
"Syarikat perladangan yang menjual kebanyakan spot seperti Hap Seng Plantations Holdings Bhd., Ta Ann Holdings Bhd. dan kebanyakan syarikat Indonesia, akan meraih manfaat daripada kenaikan harga MSM ini," tambahnya. - DagangNews.com