Harga minyak sawit mentah diunjur berlegar RM5,500 sehingga akhir 2022 | DagangNews Skip to main content

Harga minyak sawit mentah diunjur berlegar RM5,500 sehingga akhir 2022

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 13 Sept - Stok minyak sawit mentah dijangka terus kekal tinggi pada September 2022 apabila pengeluaran semakin meningkat dan kerajaan Indonesia mengambil langkah mempercepatkan eksport minyak sawit. 

 

Bagaimanapun, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, ia sebaliknya akan menjejaskan eksport minyak sawit dari Malaysia yang akan lebih daripada mengimbangi permintaan lebih tinggi dari India.

 

Firma itu berkata, selepas harga minyak sawit mentah mencecah paras tertinggi sehingga RM8,074 satu tan metrik pada awal Mac lalu, harga komoditi itu semakin menurun kepada purata RM5,648 setakat ini, susulan langkah Indonesia menghapuskan inventori minyak sawit, yang mungkin akan menekan harga minyak sawit mentah dalam tempoh jangka pendek.

 

"Namun, kami mengekalkan unjuran harga minyak sawit mentah bagi 2022 sekitar RM5,500 satu tan metrik diikuti RM4,500 satu tan metrik bagi 2023 dan RM3,800 satu tan metrik bagi 2024.

 

"Kami percaya harga minyak sawit mentah akan kembali pulih apabila stok di Indonesia kembali normal. Oleh itu, kami mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor perladangan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Data yang dikeluarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) semalam menunjukkan stok minyak sawit mentah bagi Ogos 2022 meningkat sebanyak 13.25% kepada 1.02 juta tan daripada 905,946 tan pada Julai.

 

Selain itu, inventori minyak sawit diproses meningkat 23.29% bulan ke bulan kepada 1.07 juta tan daripada 866,858 tan sebelum ini.

 

Secara keseluruhan, stok minyak sawit meningkat 18.16% bulan ke bulan kepada 2.09 juta tan daripada 1.77 juta tan sebelum ini. 

 

Bagaimanapun, eksport minyak sawit susut 1.94% bulan ke bulan kepada 1.3 juta tan daripada 1.32 juta tan pada Julai, manakala eksport minyak isirung sawit meningkat sebanyak 32.58% bulan ke bulan kepada 101,674 tan, daripada 76,689 tan sebelumnya.

 

Sementara itu, MIDF Research menjangkakan pengeluaran akan bertambah baik berikutan perkembangan positif pengambilan buruh asing khususnya dari Indonesia yang telah disambung semula pada 1 Ogos 2022.

 

Katanya, ia akan menyaksikan stok minyak sawit mentah meningkat pada suku ketiga dan keempat ini disokong lebih banyak pemangkin sejak bulan lalu.

 

Menurut firma itu, harga minyak sawit mentah dijangka diniagakan tidak menentu beberapa bulan ini sekitar RM3,500 hingga RM4,000 satu tan metrik dengan mendapat manfaat daripada perbezaan harga antara minyak sawit mentah berbanding harga minyak kacang soya yang kini sekitar AS$477 pada Julai, berdasarkan data USDA.

 

"Namun, kami juga mengenalpasti terdapat risiko penurunan kepada harga minyak sawit mentah berdasarkan prospek permintaan yang rapuh disebabkan tekanan inflasi dengan perbelanjaan isirumah semakin ketat apabila kadar faedah dinaikkan dan Indonesia melanjutkan dasar sifar levi bagi eksport minyak sawit sehingga 31 Oktober 2022.

 

"Dengan mengambil kira semua faktor ini, kami masih mengekalkan pandangan 'positif' terhadap sektor ini dengan unjuran harga minyak sawit mentah kekal pada RM5,500 satu tan metrik tahun ini, tetapi kami lebih cenderung kepada pandangan 'neutral' pada tahun hadapan," jelasnya. -DagangNews.com