Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 20 Dis - CGS-CIMB Research mengulangi saranan 'pegang' terhadap United Malacca Bhd. dengan harga sasaran lebih tinggi pada RM5.41 daripada RM5.06 sebelum ini.
Firma itu turut menjanagkakan United Malacca akan merekodkan pendapatan pada suku ketiga yang lebih kukuh didorong harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi.
"Kami turut menaikkan unjuran untung bersih teras bagi tahun kewangan 2022 (FY22) dan FY24 antara 51 hingga 77% yang mencerminkan unjuran harga MSM lebih tinggi," katanya dalam nota kajian hari ini.
Dalam laporan kewangan yang diumumkan Jumaat lalu, untung bersih United Malacca bagi suku kedua berakhir 31 Oktober 2021 melonjak 386% kepada RM36.1 juta daripada RM7.43 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya disumbangkan menerusi segmen perladangan di Malaysia dan Indonesia.
Pendapatan pada suku berkenaan juga meningkat 47% kepada RM143.85 juta, daripada RM97.95 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Bagi tempoh 6 bulan berakhir 31 Oktober 2021, kumpulan merekodkan untung bersih sebanyak RM56.94 juta, melonjak 418% daripada RM10.99 juta manakala pendapatan meningkat 40% kepada RM258.71 juta daripada RM184.73 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Prestasi kewangan itu adalah melebihi jangkaan firma/konsensus kerana ia membentuk 71%/80% daripada ramalan keuntungan bersih teras disebabkan terutamanya oleh harga MSM yang lebih baik daripada jangkaan.
Pada masa sama, CGS-CIMB juga kekal positif terhadap operasi ladangnya di Kalimantan kerana ia akan memacu pengeluaran tandan buah segar kumpulan pada masa akan datang berikutan kawasan matang yang ebih tinggi dan profil pokok lebih baik. - DagangNews.com