Harga MSM pada Dis diunjur antara RM4,500 - RM5,500 satu tan metrik, CGS-CIMB kekal pandangan 'neutral' bagi sektor perladangan | DagangNews Skip to main content

Harga MSM pada Dis diunjur antara RM4,500 - RM5,500 satu tan metrik, CGS-CIMB kekal pandangan 'neutral' bagi sektor perladangan

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 


KUALA LUMPUR 6 Dis - Harga minyak sawit mentah (MSM) diunjur kekal kukuh dengan berlegar pada paras sekitar RM4,500 hingga RM5,500 satu tan metrik sepanjang Disember ini, menurut CGS-CIMB. 

 

Ini berdasarkan kepada purata harga MSM pada November yang meningkat 5.7% bulan ke bulan dan 44% tahun ke tahun mencecah paras setinggi RM5,341 disebabkan kekangan bekalan global bagi minyak boleh dimakan yang ketat. 

 

Bagaimanapun, menurut firma itu, untung bersih syarikat perladangan Malaysia dijangka berdepan impak daripada pelaksanaan Cukai Makmur yang akan dikenakan kepada syarikat yang merekodkan pendapatan melebihi RM100 juta pada tahun kewangan 2022 (FY22). 

 

Selain itu, katanya, mereka juga akan dikenakan levi keuntungan luar biasa apabila harga MSM meningkat melebihi RM4,000 satu tan metrik dan juga tambahan cukai daripada pendapatan sumber asing yang dihantar pulang ke Malaysia. 

 

"Namun, situasi ini sebahagiannya diimbangi dengan bantuan kemasukan pekerja asing (seramai 32,000 yang diluluskan kerajaan Oktober lalu), bagi menyelesaikan masalah kekurangan tenaga buruh yang dihadapi syarikat perladangan. 

 

"FGV Holdings Bhd., misalnya berharap kumpulan pertama pekerja asing akan mula ladangnya pada suku pertama 2022," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Secara keseluruhan, firma itu mengulangi saranan 'neutral' ke atas sektor perladangan dan memberi saranan 'tambah' bagi saham Genting Plantations Bhd., Hap Seng Plantations Bhd. dan Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK). 

 

Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan pasukan CGS-CIMB Futures, ia mendapati pengeluaran minyak sawit mentah Malaysia mungkin menyusut 1.3% bulan ke bulan tetapi berkembang 14.2% bagi tahun ke tahun kepada 1.7 juta tan metrik pada November. 

 

Eksport minyak sawit pula dijangka berkembang 12% bulan ke bulan dan 22% tahun ke tahun pada November kepada 1.59 juta tan metrik disebabkan ekport yang lebih tinggi ke India dan Kesatuan Eropah. 

 

"Kami turut menganggarkan inventori minyak sawit Malaysia jatuh 6.2% bulan ke bulan tetapi meningkat 9.9% tahun ke tahun kepada 1.72 juta tan metrik setakat akhir November 2021," katanya. 

 

Data rasmi prestasi minyak sawit Malaysia pada November akan dikeluarkan pada 10 Disember ini oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). - DagangNews.com