Harga petrokimia lonjak keuntungan Petronas Chemicals kepada RM7.3 bilion bagi FY2021 | DagangNews Skip to main content

Harga petrokimia lonjak keuntungan Petronas Chemicals kepada RM7.3 bilion bagi FY2021

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Feb -  Petronas Chemicals Group Bhd. mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM7.3 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY2021) daripada RM1.6 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Margin produk yang lebih baik disebabkan oleh harga produk yang lebih tinggi meningkatkan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) bagi FY2021 kepada 36% daripada 25% pada FY2020.

 

Kumpulan mencatatkan prestasi kewangan tertinggi pada FY2021 didorong oleh peningkatan harga petrokimia sepanjang tahun. 

 

Ini menyaksikan pendapatan kumpulan bagi tempoh itu meningkat 60% kepada RM23 bilion disokong oleh kadar penggunaan loji yang tinggi sebanyak 93%, walaupun terdapat beberapa aktiviti penyelenggaraan dan pemulihan statutori yang dijalankan pada tahun ini. 

 

Sementara itu, bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021 (4Q2021), PAT melonjak kepada RM2 bilion berbanding RM456 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan meningkat 82% kepada RM7 bilion daripada RM3.8 bilion.

 

Ini terutamanya disumbangkan oleh margin produk yang lebih baik daripada harga urea, polimer dan metanol yang lebih tinggi.

 

Keputusan kewangan itu juga merupakan prestasi suku tahunan terbaik sejak penubuhannya dan penyenaraian kumpulan di Bursa Malaysia pada 2010. 

 

Harga produk petrokimia meningkat menjadi tertinggi dalam sejarah pada 2021 didorong oleh harga tenaga yang lebih tinggi, permintaan yang kukuh dan bekalan yang terhad pada waktu gangguan bekalan global. 

 

 

petronas
Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof

 

 

Petronas Chemicals mengumumkan dividen interim kedua berjumlah RM1.8 bilion.

 

Dividen interim kedua sebanyak 23 sen sesaham telah diisytiharkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021. Dividen berjumlah RM1.8 bilion akan dibayar pada 25 Mac 2022.

 

Jumlah dividen yang telah diisytiharkan sebanyak RM4.5 bilion bagi FY2021 menjadikan nisbah pembayaran dividen sebanyak 61% daripada keuntungan selepas cukai dan kepentingan tanpa kawalan (PATANCI).

 

Pada Disember tahun lepas, Petronas Chemicals melalui anak syarikat milik penuhnya, Kumpulan BRB mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu pengeluar silikon utama di rantau ini dengan permulaan operasi fasiliti pengadunan silikon baharunya di Gebeng, Pahang. 

 

Ini adalah sejajar dengan strategi  untuk mempelbagaikan portfolionya ke dalam bahan kimia khusus dan produk differentiated.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata, syarikat berpuas hati dengan pencapaian yang memberangsangkan memandangkan cabaran yang dihadapi. 

 

"Cabaran-cabaran ini termasuk kekangan terhadap rantaian bekalan global, kejutan harga, kesan perubahan iklim dan sekatan berkaitan COVID-19, merupakan antara faktor yang masih relevan bagi tahun 2022. Prestasi FY2021 kumpulan yang cemerlang adalah hasil daripada inisiatif kecemerlangan operasi dan komersial warga kerja kumpulan. 

 

"Walaupun terdapat ketidaktentuan pasaran, kami mengambil peluang menyampaikan sasaran pengeluaran dan jualan kami, yang paling penting memberi perkhidmatan kepada pelanggan melalui produk serta penyelesaian inovatif tepat pada masanya," katanya.

 

Ir. Mohd Yusri berkata, tahun ini telah bermula dengan baik dengan prospek pasaran jangka terdekat, harga produk dijangka kekal kukuh, disokong oleh harga minyak mentah dan gas asli yang tinggi seiring dengan ketegangan geopolitik yang berterusan dan peningkatan pengeluaran Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+) yang lewat. 

 

"Kami menjangkakan pemulihan pasaran akan berlaku secara beransur-ansur apabila permintaan seimbang dengan bekalan daripada kapasiti baharu di rantau Asia Pasifik, yang dijadualkan bermula pada 2022.

 

“Daripada aspek pertumbuhan jangka masa panjang, kami mengumumkan pembinaan kilang melamin di Gurun, Kedah, baru baru ini. Kilang ini disasarkan memulakan operasi pada tahun 2024, sejajar dengan strategi kami untuk menambah nilai kepada molekul sedia ada," katanya.

 

Tambah beliau, dalam meneruskan agenda pertumbuhan, pihaknya mengukuhkan komitmen untuk mewujudkan kesan positif terhadap aspek Ekonomi, Alam Sekitar dan Sosial (EES). 

 

"Baru-baru ini, Petronas Chemicals telah melengkapkan pelan tindakan Pelepasan Karbon Sifar Bersih (NZCE) yang menetapkan matlamat dan jalan bagi pengurangan karbon kumpulan, bermula dengan pengurangan sebanyak 20% menjelang 2030 ke arah menjadi sifar bersih menjelang 2050," katanya. - DagangNews.com