KUALA LUMPUR 22 Nov - Petronas Chemicals Group Bhd. (PCG) terus mencatat prestasi kukuh, ditunjukkan oleh pertumbuhan mendadak dalam pendapatan dan keuntungan pada suku ketiga 2021, didorong oleh harga produk petrokimia yang lebih tinggi.
Kenaikan harga minyak mentah yang berpanjangan dan persekitaran bekalan yang ketat secara berpanjangan turut menyebabkan harga produk yang lebih tinggi pada suku tersebut.
Ia turut didorong oleh kecemerlangan operasi kumpulan secara berterusan dan pengurusan kos yang berkesan.
PCG berjaya mencapai suku tahunan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM2 bilion pada suku ketiga, mengekalkan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang tinggi sebanyak 37%.
Bagi tempoh itu juga, pendapatan bertambah sebanyak 67% kepada RM5.8 bilion berbanding RM3.5 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Ini disumbangkan oleh harga purata produk yang lebih tinggi didorong peningkatan harga minyak mentah, permintaan global bertambah baik dan persekitaran bekalan yang ketat.
Secara kumulatif sepanjang 9 bulan, PCG mencatatkan PAT yang kukuh sebanyak RM5.3 bilion berbanding RM1.1 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.
PCG juga mengumumkan pembayaran dividen khas sebanyak RM800 juta sempena ulang tahun ke-10 penyenaraiannya, yang disambut pada tahun 2020.
Mengulas mengenai prestasi kewangan ini, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Sazali Hamzah dalam kenyataan berkata, walaupun harga polimer adalah lebih rendah sebanyak 5% berbanding suku kedua 2021, tetapi harga urea dan methanol meningkat dengan kukuh masing-masing kira-kira 25% dan 10%.
"Pada mulanya kami menjangkakan pemulihan harga pasaran akan menjadi sederhana bermula suku ketiga.
"Tetapi harga produk kekal agak tinggi berikutan Taufan Ida pada Ogos lalu yang mengganggu bekalan di Amerika Utara dan masa henti yang berpanjangan di loji urea Timur Tengah sewaktu pemulihan permintaan apabila sekatan COVID-19 semakin berkurangan," katanya hari ini.
Menurut beliau, keadaan pasaran semasa menunjukkan peningkatan yang baik bagi PCG dan mungkin akan melihat sedikit pengurangan kepada permintaan disebabkan kebangkitan semula jangkitan COVID-19.
Katanya, ia turut dipengaruhi dengan dasar China untuk mengurangkan intensiti tenaga dan mengehadkan jumlah penggunaan tenaga.
"Bagaimanapun, faktor mengimbangi lain seperti kekurangan gas asli di Eropah dan keputusan pengeluaran OPEC+, akan turut mempengaruhi harga minyak mentah dan seterusnya, harga produk PCG," jelas beliau.
Sazali turut memberitahu, fasiliti petrokimia dijadualkan akan bermula pada suku pertama 2022.
"Kami turut menantikan permulaan tersebut kerana pasukan komersial kami telah mendapatkan pelanggan yang bersedia untuk mengambil produk PCG. Ia akan menjadi permulaan yang mengujakan buat PCG untuk memulakan tahun baharu," katanya. - DagangNews.com