Harga saham Top Glove kini menghampiri paras ketika 2015 - Valuevest | DagangNews Skip to main content

Harga saham Top Glove kini menghampiri paras ketika 2015 - Valuevest

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Sept - Di sebalik penurunan harga saham Top Glove Corp. Bhd. kepada paras terendah, Valuevest Ventures masih mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran pada RM1.58 sesaham. 

 

Menurut firma pelaburan itu, harga saham syarikat pengeluar sarung tangan getah global itu ketika ini menghampiri paras pada 2015. 

 

Katanya, walaupun harganya merudum daripada paras tertinggi sebelum ini, tetapi pengerusi eksekutifnya, Tan Sri Dr Lim Wee Chai telah meningkatkan pegangannya bagi mengelakkan sahamnya terus menjunam. 

 

"Berdasarkan kepada prestasi saham kumpulan, harganya menunjukkan aliran menurun selepas pandemik COVID-19 memandangkan permintaan sarung tangan getah mula berkurangan. 

 

"Bagaimanapun, dalam tempoh jangka masa panjang, kami yakin Top Glove akan kembali bersinar kerana kumpulan membayar dividen berjumlah RM7.84 bilion sejak 2001.

 

"Ini menunjukkan kumpulan begitu serius dan komited untuk berkongsi keuntungannya dengan pemegang saham," katanya dalam nota kajian baru-baru ini.

 

Pada Ogos, Wee Chai dilaporkan telah membeli dua blok 2.8 juta saham dalam syarikat sarung tangan getah itu pada harga RM2.31 juta.

 

Menurut pemakluman syarikat itu di Bursa Malaysia, Lim memperoleh 1.3 juta saham pada 12 Ogos untuk 85.592 sen sesaham, dan 1.5 juta saham lagi pada 15 Ogos untuk 79.5 sen sesaham.

 

Selain itu, beliau memegang 8.495% kepentingan tidak langsung dalam syarikat itu.

 

Keuntungan bersih Top Glove merosot kepada RM15.3 juta pada suku ketiga berakhir 31 Mei 2022 berbanding RM2.04 bilion yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu.

 

Prestasi kurang memberangsangkan pada suku dikaji disebabkan kemerosotan pendapatan kepada RM1.5 bilion daripada RM4.2 bilion yang diraih pada suku ketiga tahun lalu di tengah-tengah kesan normalisasi permintaan dan harga jualan purata (ASP) yang memberi impak kepada industri.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mei 2022, pendapatan jualan pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu berada pada RM4.5 bilion, susut mendadak berbanding RM14.3 bilion yang dicatatkan tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Susulan itu, untung bersih Top Glove bagi tempoh itu menjunam kepada RM288.6 juta daripada RM7.3 bilion.

 

Menurut Valuevest, penurunan ASP sarung tangan getah pada kadar lebih perlahan dapat menampan impak kos pada masa akan datang. 

 

Sementara itu, katanya, jualan ke Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi pada suku ketiga meningkat 8% berbanding suku kedua, dilihat satu petanda baik kepada kumpulan.

 

Ia berkata, Top Glove juga telah mengurangkan kapasiti pengeluaran sebanyak 22% atau 45 bilion keping sarung tangan getah kepada 156 bilion daripada 201 bilion sebelum itu bagi mengelakkan berlakunya lebihan bekalan dalam pasaran dan tekanan kepada ASP.

 

"Walaupun ASP mungkin mengalami beberapa pelarasan, tetapi kami percaya ia akan lebih stabil pada masa akan datang," jelasnya.

 

Setakat 11.39 pagi ini, harga saham Top Glove susut 0.5 sen atau 0.63% kepada 79 sen dengan 5.21 juta saham diniagakan. - DagangNews.com