Hartalega, Top Glove ‘tarik’ pasaran ditutup tinggi, Serba Dinamik masih ungguli kaunter aktif | DagangNews Skip to main content

Hartalega, Top Glove ‘tarik’ pasaran ditutup tinggi, Serba Dinamik masih ungguli kaunter aktif

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Julai - Pasaran ekuiti Malaysia menutup dagangan pada minggu ini dengan prestasi positif, apabila indeks utama, FBM KLCI melonjak 11.87 mata atau 0.79% kepada paras 1,520.58.

 

Mengungguli kaunter paling aktif pada petang ini, Serba Dinamik yang berakhir positif apabila harga sahamnya menokok 3.41% atau 0.015 sen kepada 0.455 sen. 

 

Syarikat menutup dagangan pada minggu ini dengan nilai pasaran berjumlah RM1.696 bilion dan jumlah saham sebanyak 3.727 bilion. 

 

Ini diikuti oleh Asdion Berhad, namun harga sahamnya ditutup 41.96% atau 0.300 sen lebih rendah kepada 0.415 sen. 

 

Turut menjadi tumpuan pelabur adalah saham Kanger International Berhad, Careplus Group Berhad, AT Systematization Berhad dan Hong Seng Consolidated Berhad yang masing-masing berakhir positif.

 

Dalam kalangan kaunter untung, saham Kumpulan H & L High-Tech Berhad (Hightec) berjaya menyaksikan lonjakan terbaik, ‘melompat’ 29.95% atau RM1.30 kepada RM5.64. 

 

Secara keseluruhannya, prestasi dagangan dalam pasaran saham pada petang ini berakhir agak positif apabila kaunter untung iaitu 658 mengatasi 326 kaunter rugi. 

 

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Adam Mohamed Rahim menjelaskan bahawa kaunter-kaunter sarung tangan di bawah FBM KLCI seperti Hartalega Holdings Berhad dan Top Glove Corporation Berhad melonjak lebih tinggi, masing-masing sebanyak 1.6% dan 2.7%.

 

Ini bermakna, indeks Penjagaan Kesihatan Bursa Malaysia mencatatkan lonjakan sektor terbesar, berakhir 2.1% lebih tinggi.

 

Namun, kebimbangan akibat pandemik COVID-19 masih lagi ‘menguasai’ sentimen dengan jumlah kes harian pada hari ini mencatatkan angka tertinggi, iaitu 9,180 kes setakat 9 Julai 2021.

 

“Melangkah pada minggu hadapan, indeks FBM KLCI dijangka didagangkan dalam jajaran terhad antara 1,510 hingga 1,530 mata memandangkan para pelabur akan terus berhati-hati terhadap pandemik COVID-19 walaupun kadar vaksinasi memberangsangkan. 

 

“Dalam masa sama, pemangkin utama pasaran untuk jangka masa sederhana ini dijangka muncul. Pertumbuhan yang mungkin lebih tinggi untuk Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP), yang dijangka diumumkan Isnin depan tidak mungkin akan bertindak sebagai pendorong kepada pasaran kerana negara belum lagi memasuki ‘lockdown’ skala penuh ketika itu,” jelas beliau lanjut. - DagangNews.com