Hasil bon Malaysia dijangka menyusut ekoran PKP 3.0 | DagangNews Skip to main content

Hasil bon Malaysia dijangka menyusut ekoran PKP 3.0

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Mei - Kadar hasil bon kerajaan, Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) dijangka lebih rendah pada minggu ini ekoran pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di dalam negara. 

 

Kenanga Research yang meramalkan situasi itu bagaimanapun yakin impak PKP 3.0 dijangka kurang teruk berbanding penguatkuasaan sebelum ini. 

 

Ini memandangkan hampir semua sektor ekonomi masih dibenarkan beroperasi, mengimbangi kejatuhan kadar hasil MGS dan GII, tambah Kenanga.

 

“Dalam pada itu, tumpuan akan tertancap pada laporan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2021 (1Q21) pada Selasa (hari ini). 

 

“Kami masih menjangkakan aliran masuk asing ke dalam pasaran hutang akan berterusan dalam jangka masa terdekat, dipacu oleh perbezaan kadar hasil yang kekal tinggi. 

 

“Namun, aliran masuk April mungkin menurun disebabkan oleh kebimbangan terhadap jangkitan COVID-19 di peringkat tempatan dan global. Tebaran kadar hasil MGS dan Perbendaharaan Amerika Syarikat (UST) 10 tahun kekal pada kadar 150 mata asas (bps) pada minggu lalu,” jelas Kenanga dalam nota kajiannya bertarikh semalam. 

 

Jelas firma penyelidikan itu, kedua-dua kadar hasil MGS dan GII bercampur-campur pada minggu lalu, secara keseluruhannya bergerak antara -5.1 bps hingga 4.1 bps. 

 

MGS 10 tahun menyusut 5 bps kepada 3.073%, paras terendahnya dalam tempoh dua minggu. 

 

Dalam pada itu, permintaan bagi MGS berjangka pendek dan sederhana masih kukuh, memandangkan para pelabur mencari langkah selamat susulan peningkatan kes COVID-19 di dalam negara dan penguatkuasaan sekatan pergerakan yang baharu.

 

Sementara itu, UOB Research dalam satu nota kajian berbeza, bertarikh hari ini mendedahkan portfolio aliran masuk keseluruhan pelabur asing, bernilai RM5.3 bilion bagi bulan lalu, sebanyak RM6.4 bilion dalam bon domestik, berbanding penjualan -RM1.1 bilion ekuiti tempatan.

 

Dua penganalisisnya, Julia Goh dan Loke Siew Ting percaya aliran masuk bon itu seiring portfolio aliran masuk yang lebih tinggi ke dalam pasaran-pasaran sedang membangun bagi tempoh sama.

 

“Aliran masuk asing yang kukuh ke dalam bon domestik adalah susulan keputusan FTSE Russell untuk menyingkirkan Malaysia daripada senarai pemerhatian dan mengekalkan negara dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI). 

 

“Kadar hasil bon domestik telah menyusut daripada paras tinggi pada Mac, seiring pergerakan kadar hasil UST,” tambah Goh dan Siew Ting.

 

Bulan lalu menyaksikan pemegangan bon kerajaan meningkat sebanyak RM5.2 bilion kepada RM220 bilion, menjadikan penguasaan tertinggi sejak April 2018. - DagangNews.com