Hasil Guan Chong diunjur meningkat 6.9% pada FY23 didorong kenaikan harga koko - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Hasil Guan Chong diunjur meningkat 6.9% pada FY23 didorong kenaikan harga koko - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Julai - MIDF Research mengunjurkan Guan Chong Berhad mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 6.9% FY23 didorong oleh purata harga jualan (ASP) yang lebih tinggi disebabkan kenaikan harga koko dan nisbah gaungan yang stabil serta permintaan global yang stabil.

 

Firma itu juga menjangkakan, pertumbuhan teras keuntungan selepas cukai dan kepentingan tanpa kawalan (PATANCI) yang lebih perlahan sebanyak 3.1% dari tahun ke tahun.

 

Katanya, ia disebabkan kos kewangan lebih tinggi hasil peningkatan pinjaman dan kenaikan kadar faedah di seluruh Malaysia, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Eropah.

 

"Pinjaman kumpulan itu kebanyakannya dalam dolar AS (39%), diikuti oleh Ringgit Malaysia (38%), Pound Sterling (14%) dan Euro (9%) pada suku pertama tahun ini.

 

"Kami menjangkakan dividen sesaham sebanyak 4.4 sen untuk FY23, berdasarkan dasar dividen syarikat membayar sekurang-kurangnya 25% daripada keuntungan bersih. Ini diterjemahkan kepada hasil dividen sebanyak 2.6%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Guan Chong terlibat dalam pembuatan koko premium, mentega, kek dan serbuk koko, serta coklat industri dan produk F&B berasaskan koko dengan produknya dipasarkan di bawah tanda dagangan seperti Favorich, Carlyle Cocoa, Schokinag dan Favorich.

 

Segmen perniagaan kumpulan mengikut lokasi ialah Malaysia, Singapura, Indonesia dan Jerman, dengan penyumbang utama ialah Malaysia dan Singapura pada FY22.

 

Firma itu menjangkakan, harga koko kekal tinggi berikutan pengeluaran kacang yang lebih rendah secara berterusan, berikutan keadaan cuaca yang melampau, virus dan kekurangan baja.

 

Katanya, dengan kenaikan harga koko dan nisbah gabungan yang stabil, firma itu menjangkakan harga jualan purata yang lebih tinggi untuk kedua-dua mentega koko dan serbuk dalam tempoh terdekat.

 

Firma itu bagaimanapun tidak menetapkan sebarang saranan namun menetapkan harga wajar (FV) RM2.55 sesaham. - DagangNews.com