Hasil Kenanga Investment Bank melonjak 18.3% kepada RM447.3 juta pada 1HFY24 | DagangNews Skip to main content

Hasil Kenanga Investment Bank melonjak 18.3% kepada RM447.3 juta pada 1HFY24

Datuk Chay Wai Leong
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Kenanga Investment Bank Bhd mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 18.3% kepada RM447.3 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2024 (1HFY24) berbanding RM378.1 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.  

 

Bank itu berkata, prestasi cemerlang itu disokong peningkatan 60.4% daripada keuntungan operasi serta sumbangan syarikat bersekutu.

 

Katanya, untung bersih bank itu pula mencecah RM32.2 juta, mencerminkan pertumbuhan 18.8% berbanding separuh pertama 2023 (1HFY23).

 

 

"Sejajar dengan jumlah dagangan lebih tinggi di Bursa Malaysia, bahagian pembrokeran saham kumpulan mencatatkan lonjakan menghampiri tiga kali ganda dalam untung sebelum cukai kepada RM13.6 juta pada 1HFY24 berbanding RM4.7 juta pada tempoh yang sama tahun lepas. 

 

"Hasil juga mencatatkan pertumbuhan positif, naik 38.4% daripada RM142.4 juta kepada RM197.1 juta pada 1HFY24, dipacu oleh pendapatan perdagangan dan pelaburan lebih tinggi serta pendapatan yuran pembrokeran," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kumpulan tu berkata, bagi tempoh sama, bahagian pengurusan aset dan kekayaan mencatatkan hasil lebih tinggi berjumlah RM118.5 juta, manakala untung sebelum cukai berada pada paras RM11.6 juta, akibat yuran pengurusan dan yuran prestasi lebih rendah, dan juga kerugian kredit lebih tinggi. 

 

kenanga

 

Aset di bawah pengurusan (AUA) mencatatkan pertumbuhan teguh, meningkat 12.9% kepada RM23.6 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas. 

 

"Bagi perniagaan derivatif tersenarai, segmen ini melaporkan peningkatan hasil 10.8% kepada RM13.3 juta bagi 1HFY24 berbanding RM12 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya. 

 

"Pertumbuhan ini dicapai berasaskan pendapatan komisen dan faedah lebih tinggi yang dihasilkan daripada aktiviti perdagangan lebih tinggi dalam sektor derivatif. Sejajar dengan itu, untung sebelum cukai melonjak 18.8% tahun ke tahun kepada RM3.8 juta," katanya.

 

Bahagian perbankan pelaburan mencatatkan hasil lebih tinggi berjumlah RM121.2 juta, mencerminkan peningkatan 11.8% berbanding RM108.4 juta yang dilaporkan pada 1HFY23, dipacu oleh pendapatan yuran perbankan pelaburan serta pendapatan perdagangan dan pelaburan yang lebih tinggi. 

 

Pendapatan faedah lebih rendah dan perbelanjaan kerugian kredit menyebabkan bahagian tersebut mengalami kerugian sebelum cukai RM3 juta.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga Investment Bank, Datuk Chay Wai Leong berkata, pihaknya meramalkan prestasi lebih baikberbanding tahun lalu disokong keadaan ekonomi yang lebih positif dan jumlah dagangan yang lebih tinggi di Bursa Malaysia.

 

“Di sebalik ketidakstabilan pasaran dan ketegangan geopolitik baru-baru ini, pengurusan risiko dan kredit yang teliti menjadi kunci kepada usaha mengukuhkan daya tahan kami.

 

"Berbekalkan kepakaran dan pengalaman pasaran modal selama lebih lima dekad, kami bersedia untuk menempuh cabaran, memanfaatkan peluang baharu dan mengekalkan momentum pertumbuhan untuk menghasilkan nilai bagi para pemegang saham dalam jangka panjang," katanya. - DagangNews.com