Hasil Kerajaan Persekutuan diunjur meningkat kepada RM312 bilion pada 2024 - MOF | DagangNews Skip to main content

Hasil Kerajaan Persekutuan diunjur meningkat kepada RM312 bilion pada 2024 - MOF

KUALA LUMPUR 27 Mac - Hasil Kerajaan Persekutuan pada 2024 diunjurkan meningkat kepada RM312.159 bilion selepas mengambil kira langkah cukai Belanjawan 2024, disumbangkan oleh kutipan hasil cukai yang lebih tinggi dan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik.

 

Timbalan Menteri Kewangan,Lim Hui Ying berkata,hasil cukai kekal sebagai penyumbang utama iaitu 79.5% kepada jumlah hasil atau 12.57% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) manakala hasil bukan cukai mewakili 20.5% kepada jumlah hasil (3.24% kepada KDNK).

 

"Kutipan hasil akan disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang kukuh berserta langkah yang diambil untuk meningkatkan lagi mobilisasi hasil melalui peluasan asas cukai serta menambah baik pematuhan dan ketelusan cukai," katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) mengenai langkah yang telah diambil Kementerian Kewangan (MOF) untuk mengkaji semula struktur percukaian semasa dengan mengambil kira keperluan perubahan ekonomi semasa.

 

Lim berkata, kerajaan komited dan telah mengambil langkah untuk mempelbagaikan dan meningkatkan sumber pendapatan negara.

 

Antaranya langkah mobilisasi hasil termasuk meluaskan asas hasil cukai, menambah baik dan menyemak semula struktur dan perundangan cukai, serta pemberian insentif percukaian, katanya.

 

"Langkah ini akan dibuat melalui pelaksanaan Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) bagi memastikan perancangan cukai jangka sederhana adalah lebih teratur dan sepadan dengan perbelanjaan.

 

"Di samping itu, kerajaan juga telah menggubal Akta Tanggungjawab Fiskal 2023 berkuat kuasa mulai 1 Jan, 2024 yang dijangka dapat mengukuhkan tadbir urus dan disiplin fiskal negara,” katanya.

 

Beliau berkata selain itu, menerusi Belanjawan 2024, kerajaan mengumumkan peluasan skop cukai perkhidmatan untuk merangkumi perkhidmatan logistik, pembrokeran, penaja jaminan dan karaoke.

 

Di samping itu, kadar cukai perkhidmatan juga dinaikkan dari 6% kepada 8% bagi semua perkhidmatan dan tidak termasuk perkhidmatan tertentu seperti makanan dan minuman, perkhidmatan telekomunikasi, perkhidmatan penyediaan ruang parkir kenderaan dan perkhidmatan logistik.

 

"Selain itu, kerajaan akan melaksanakan cukai barangan mewah, cukai keuntungan modal dan e-invois pada tahun ini dalam usaha meluaskan asas hasil negara," katanya.

 

Sementara itu, Muhammad Ismi turut bertanya mengenai langkah kerajaan bagi menangani penyelewengan dan pengisytiharan cukai tidak jujur.

 

Justeru, Lim berkata kerajaan berpendapat peruntukan undang-undang dan prosedur pentadbiran sedia ada secara umumnya memadai untuk mengatasi penyelewengan dan penyalahgunaan dalam struktur percukaian sedia ada dan baharu, lapor Bernama.

 

"Tambahan pula, selaras Belanjawan 2024, kerajaan akan melaksanakan e-invois secara berperingkat yang akan membolehkan pengesanan ketidakpatuhan cukai dengan lebih berkesan.

 

"Walau bagaimanapun kementerian akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa," katanya.  - DagangNews.com