Hasil segmen aeroangkasa rendah, pendapatan SAM Engineering diunjur menyusut sehingga 2QFY25 | DagangNews Skip to main content

Hasil segmen aeroangkasa rendah, pendapatan SAM Engineering diunjur menyusut sehingga 2QFY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Sept - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengunjurkan penyusutan pendapatan SAM Engineering and Equipment (M) Bhd berterusan sehingga 2QFY25 disebabkan hasil serta margin lebih rendah dalam segmen aeroangkasa. 

 

Katanya, segmen aeroangkasa kumpulan itu sedang mengalami gangguan sementara akibat kelewatan pelancaran produk baharu selain kecacatan kualiti daripada bahan yang diperoleh daripada pembekal.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keadaan itu juga disebab kadar pertumbuhan yang lebih rendah untuk segmen peralatannya kerana semakan industri menyebabkan kelewatan dalam pemulihan rantaian bekalan semikonduktor.

 

"Semakan industri menunjukkan isu bagi segmen aeroangkasanya akan mengalami gangguan sementara dan operasi seharusnya kembali normal dalam tempoh satu atau dua suku seterusnya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu menyusut lebih separuh kepada RM10.1 juta pada 1QFY25 berbanding RM20.53 juta pada suku sama tahun sebelumnya elepas jualan segmen peralatannya jatuh.

 

Ia juga disebabkan pendapatan lebih rendah dalam segmen aeroangkasa dan sebahagiannya disebabkan kos permulaan yang lebih tinggi di Thailand .

 

Syarikat itu juga difahamkan sedang merapatkan diri dengan Boeing dan Airbus bagi menguruskan sebarang perubahan pada rancangan penghantaran mereka.

 

Maybank IB berkata, kumpulan itu memperoleh Aviatron Sdn Bhd, yang menghasilkan rasuk nacelle enjin untuk pesawat Boeing dan Airbus. 

 

Boeing dibelenggu oleh pelbagai isu keselamatan, kerana pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) menyiasat masalah kualiti model B737 Max dan B787, manakala Airbus dibelenggu oleh isu rantaian bekalan.

 

"Pemulihan rantaian bekalan semikonduktor dijangka berlaku pada separuh kedua 2025 kerana kadar penggunaan fab global mungkin masih tidak optimum.

 

"SPE Tahap 1 mungkin masih mempunyai inventori untuk diselesaikan sebelum peningkatan aliran pesanan kepada pembekal seperti SAM dan Grand Venture Tech," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah RM6.15 sesaham. - DagangNews.com