Hasil Velesto Energy bagi suku ketiga, keempat diunjur lemah berikutan 3 pelantarnya jalani tinjauan berkala khas | DagangNews Skip to main content

Hasil Velesto Energy bagi suku ketiga, keempat diunjur lemah berikutan 3 pelantarnya jalani tinjauan berkala khas

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Hasil Velesto Energy Bhd bagi suku ketiga dan keempat 2024 diunjur lebih lemah berikutan tiga daripada pelantarnya iaitu Naga 2, Naga 5 dan Naga 6 perlu menjalani tinjauan berkala khas (SPS) yang memakan masa antara dua hingga tiga bulan bagi setiap satu.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, dengan itu keuntungan kumpulan itu lebih tertumpu kepada separuh pertama tahun ini.

 

"Baru-baru ini Velesto berjaya memperoleh pekerjaan jangka pendek di Vietnam selama selama dua hingga tiga di Thang Long dan ia menunjukkan bahawa mereka merupakan syarikat berkebolehan di peringkat serantau.

 

"Sementara itu, Naga 5 sedang dalam rundingan bagi mendapatkan pekerjaan jangka panjang daripada syarikat minyak yang berpangkalan di Malaysia," katanya dalam atu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu melonjak kepada RM62.81 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24), daripada RM17.4 juta pada 2QFY23. 

 

Hasil meningkat kumpulan itu juga meningkat 40.86% kepada RM393.43 juta daripada RM279.32 juta.

 

Kemajuan yang lebih tinggi untuk projek penyiapan penggerudian pelantar bersepadu (i-RDC) Velesto di bawah perniagaan pengurusan projek bersepadunya pada suku dalam tinjauan juga menyumbang kepada prestasi suku tahunan yang lebih kukuh.

 

Firma penyelidikan itu berkata, dengan Naga 2, Naga 4, Naga 6 dan Naga 8 berjaya meraih kontrak jangka panjang ditambah dengan jangkaan sewaan harian yang tinggi untuk Naga 3 dan Naga 5 dijangka melonjakkan hasil kumpulan.

 

Mereka meramalkan pertubuhan pendapatan sesaham (EPS) yang kukuh sebanyak 53% pada FY25.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 32 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com