KUALA LUMPUR 7 Feb - MIDF Research menaikkan taraf saranan Affin Bank Berhad kepada ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi 31% kepada RM2.24 sesaham berbanding RM1.71 sebelum ini selepas kerajaan Sarawak dijangka memperoleh 30% kepentingan dalam kumpulan perbankan itu.
Firma penyelidikan itu berkata peningkatan TP bagi saham Affin Bank itu adalah berdasarkan harga kepada nilai buku (P/BV) bagi tahun kewangan 2024 (FY24F) yang disemak naik sebanyak 0.42 kali, untuk mencerminkan sentimen positif berkaitan urus niaga penambahan pegangan saham tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan negeri Sarawak bakal menjadi pemegang saham terbesar Affin Bank – Premier Sarawak
Tertakluk kepada kelulusan kawal selia, firma tersebut berkata potensi kemasukan Sarawak sebagai pemegang saham terbesar boleh menandakan lembaran baharu dalam hala tuju dan momentum perniagaan Affin Bank. Namun begitu, kualiti dan hasil kredit akan kekal sebagai tumpuan.
Menurut laporan media baru-baru ini, kerajaan Sarawak mungkin bersaing bagi mendapatkan 30% kepentingan, berbanding 20% yang disebutkan sebelum ini, menggambarkan bahawa kerajaan negeri itu sedang menyasarkan untuk menjadi pemegang saham terbesar.
“Ia memberi Affin Bank peluang Perbankan Pelaburan (IB) yang lebih tinggi (memandangkan pendapatan bukan faedah [NOII] bank itu belum pulih sepenuhnya daripada pelupusan AHAM).
“Ia juga memberi peluang kepada Affin Bank untuk membina segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan korporatnya, terutamanya apabila kumpulan itu sedang menyasarkan untuk beralih daripada segmen pinjaman pengguna yang memberi pulangan lebih rendah,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Pada masa yang sama, MIDF Research berkata adalah penting untuk tidak melebih-lebihkan kelebihan yang dibawa oleh perubahan ini.
Menurut firma penyelidikan itu, penilaian Affin Bank masih terlalu mahal meskipun pelbagai masalah dihadapinya dalam masa terdekat dan kelebihan yang dibawa oleh pemegang saham baharu akan mengambil sedikit masa untuk menjadi kenyataan.
Selain itu, firma tersebut berkata prospek margin faedah bersih (NIM) samar berikutan pertumbuhan pinjaman berhasil rendah tinggi dan peningkatan kadar deposit menyebabkan kecairan yang mencukupi.
Pada pukul 10:59 pagi ini, saham Affin Bank menurun 1 sen atau 0.4% kepada RM2.49 dengan permodalan pasarannya bernilai RM5.8 bilion. - DagangNews.com