Hentikan pengeluaran KWSP atau berdepan krisis persaraan | DagangNews Skip to main content

Hentikan pengeluaran KWSP atau berdepan krisis persaraan

 

KUALA LUMPUR 13 Nov. - Kerajaan bakal berdepan krisis persaraan getir sekiranya terus membenarkan pencarum membuat pengeluaran daripada akaun dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). 

 

Polisi berkenaan dikhuatiri mengundang bahaya kepada kedua-dua pencarum dan sistem dana pencen swasta di mana terpaksa mendahulukan wang untuk jutaan ahli yang mempunyai simpanan sedikit, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) memberi amaran. 

 

“Dengan situasi hari ini, sukar untuk EPF mendapatkan dana kebanyakannya daripada pelaburan dan dividen baik. 

 

“Jadi, apabila simpanan telah dikeluarkan, apa akan jadi dengan persaraan mereka? Perlu ingat bahawa ramai yang tidak mempunyai wang mencukupi dalam Akaun 1 di mana KWSP perlu mendahulukan wang terlebih dahulu,” kata Presiden MTUC, Datuk Halim Saad menurut laporan Malay Mail. 

 

 

Halim Saad
Halim Saad

 

Sejak pandemik COVID-19 menular, kerajaan membenarkan pencarum KWSP untuk mengeluarkan wang simpanan sebanyak RM500 sebulan daripada Akaun 2.

 

Susulan desakan ramai, kerajaan pada Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz baru-baru ini membuat keputusan untuk membenarkan pencarum untuk mengeluarkan dana sebanyak RM500 sebulan selama setahun daripada Akaun 1 mereka pula.

 

Seramai 2.2 juta pencarum telah mengeluarkan simpanan KWSP dari Akaun 2 dan 32% daripada pencarum mempunyai kurang daripada RM5,000 dalam Akaun 1.

 

Pada 11 November lalu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Tunku Alizakri Alias mendedahkan bahawa hampir separuh daripada pencarum bawah 55 tahun iaitu 5.38 juta mempunyai simpanan di bawah RM10,000 sekali gus menggesa penyelesaian segera. 

 

Ketika ditemubual TV3, Tengku Zafrul tidak menafikan bahawa pencarum yang mempunyai kurang daripada RM5,000 simpanan dalam Akaun 1 merupakan isu struktur dihadapi Malaysia dan memerlukan pelan penyelesaian untuk jangka masa panjang serta sederhana.

 

Baca : 42% pencarum mempunyai baki Akaun 1 KWSP bawah RM5,000

 

“Jadi 42% pencarum KWSP mempunyai anggaran baki RM5,000 dan ke bawah. Ini ialah salah satu isu struktur. Jaringan keselamatan sosial itu penting, ini isu yang kerajaan akan fokus buat masa sederhana dan panjang,” kata Tengku Zafrul dalam temubual berkenaan.

 

Baca : Hanya 32% pencarum ada baki Akaun 1 KWSP RM1,000

 

Susulan itu, Halim melihat sekiranya lebih daripada separuh pencarum mempunyai RM50,000 baki untuk persaraan, langkah pengeluaran Akaun 1 akan menyebabkan krisis dalam jangka masa panjang. 

 

“Lebih baik kerajaan yang membantu mereka daripada melakukan sesuatu yang memberhayakan persaraan pencarum.

 

“Saya fikir mereka tidak boleh melihat langkah tanggungjawab mudah… mereka perlu mencontohi negara-negara seperti Singapura dan Jerman,” tambah MTUC.

 

Bagi perancang kewangan, walaupun polisi itu diperlukan namun ia mempunyai kesan jangka panjang di mana sebahagian besar pencarum mempunyai pengetahuan kewangan yang rendah.  

 

“Bagi pekerja sektor swasta, simpanan EPF merupakan satu-satunya wang pencen mereka,” kata perancang kewangan di Harveston Financial Group, Dennis Chin.

 

Chin berkata, pencarum tidak sepatutnya digalakkan untuk mengeluarkan simpanan persaraan kerana mereka mungkin menyalahgunanya memandangkan pengetahuan kewangan dalam kalangan B40 dan M40 masih rendah.

 

“Terdapat ahli profesional yang saya kenali tidak mempunyai pengetahuan pengurusan kewangan asas seperti deposit tetap yang boleh menghasilkan pendapatan berbanding akaun simpanan,” tambah Chin. 

 

Dalam Belanjawan 2021, kerajaan turut menurunkan kadar caruman KWSP daripada 11% kepada 9% bermula Januari tahun hadapan. - DagangNews.com