Hibiscus Petroleum catat pengeluaran minyak, kondesat dan gas bersih melebihi 22,000 boe/sehari buat kali pertama pada 2QFY24 | DagangNews Skip to main content

Hibiscus Petroleum catat pengeluaran minyak, kondesat dan gas bersih melebihi 22,000 boe/sehari buat kali pertama pada 2QFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Feb - Hibiscus Petroleum Bhd mencatatkan angka pengeluaran minyak, kondensat dan gas bersih sebanyak 22,191 tong minyak sehari (boe/sehari) pada suku kedua berakhir 31 Disember 2023 (2QFY24) menandakan kali pertama pengeluaran suku tahunnya melebihi 22,000 boe/sehari. 

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, sebanyak 1.2 juta tong (MMbbl) minyak dan kondensat dan 0.7 juta tong (mmboe) gas telah dijual pada 2QFY24 dan sehingga kini sejumlah 3.9 MMboe minyak, kondensat dan gas yang dijual.

 

Kumpulan menganggarkan untuk menjual sejumlah 7.7 MMboe untuk FY24 selaras dengan panduan kira-kira 7.5 hingga 7.8 MMboe yang disediakan sebelum ini. 

 

"Pada suku berkenaan, untung bersih kumpulan itu meningkat kepada RM102.34 juta berbanding RM70.47 bagi suku sama tahun lalu tetapi hasilnya bagaimanapun susut kepada RM627.55 juta berbanding RM713.13 juta pada 2QFY23.

 

"Sepanjang separuh pertama tahun kewangan, keuntungan bersih Hibiscus ialah RM256.63 juta berbanding RM205.73 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya manakala hasil adalah RM1.37 bilion pada 1HFY24 berbanding RM1.32 bilion pada 1HFY23," katanya.

 

Hibiscus Petroleum mengisytiharkan dividen interim satu peringkat kedua sebanyak 2 sen sesaham biasa untuk FY24, dengan jumlah 4 sen yang diisytiharkan setakat ini.

 

Kumpulan itu menyasarkan untuk mengisytiharkan dividen minimum sesaham sebanyak 7.5 sen sepanjang FY24.

 

Melaraskan kesan daripada pelaksanaan penyatuan saham yang dimuktamadkan pada Oktober 2023, ini mewakili peningkatan 20% dalam pembayaran dividen pada tahun kewangan yang akan diisytiharkan pada FY24 berbanding FY23.

 

Pengarah Urusannya, Dr. Kenneth Pereira berkata, pihaknya menampilkan prestasi kukuh dengan meningkatkan tahap pengeluaran purata kepada lebih 22,000 boe sehari buat kali pertama dalam satu suku tahun.

 

"Tawaran anugerah 2 blok lagi di United Kingdom juga menunjukkan komitmen kami terhadap peluang minyak dan gas di peringkat antarabangsa.

 

"Kami kekal fokus untuk menyampaikan nilai kepada pemegang saham kami, dibuktikan dengan trend peningkatan dividen dan pembelian balik saham baru-baru ini," katanya.- DagangNews.com