Peningkatan jualan segmen automotif, perubatan diramal lonjak keuntungan suku kedua 2024 Supercomnet - TA Securities | DagangNews Skip to main content

Peningkatan jualan segmen automotif, perubatan diramal lonjak keuntungan suku kedua 2024 Supercomnet - TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Mei - TA Securities meramalkan keuntungan Supercomnet Technologies Bhd bagi suku kedua 2024 meningkat didorong oleh peningkatan jualan dalam segmen automotif dan perubatan.

 

Katanya, pelanggan utama kumpulan itu seperti Edwards Lifesciences Corp yang tersenarai di Bursa Saham New York dan Ambu yang berpangkalan di Denmark dijangka meningkatkan jumlah pesanan.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan potensi kontrak baharu daripada pelanggan N dan ia akan menjadi pemacu keuntungan baharu kepada kumpulan itu.

 

"Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) sudah memberi pengesahan kepada semua 60 ujian klinikal terakhir dan keadaan itu memberi bayangan bahawa pelanggan N hamper menerima kelulusan penuh tidak lama lagi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih suku pertama kumpulan itu meningkat 14.7% kepada RM8.1 juta didorong peningkatan jualan produk perubatan, terutamanya kabel video endoskopi Ambu. 

 

Bagaimanapun, hasil merosot 3.3% kepada RM36.1 juta disebabkan pesanan yang lebih rendah daripada Stellantis, yang telah melalui proses penstrukturan semula.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prestasi mendatar itu disebabkan kos operasi yang lebih tinggi daripada segmen automotif serta perbelanjaan yang berkaitan dengan penubuhan kilang baharu di Gurun.

 

Katanya, dari segi pecahan hasil, segmen perubatan kekal sebagai penyumbang utama kepada kumpulan, menyumbang 76% daripada jualan manakala segmen automotif dan perindustrian masing-masing menyumbang 5% dan 19% daripada jualan pada suku pertama.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.85 sesaham," katanya. - DagangNews.com