Advancecon raih kontrak infrastruktur utama bernilai RM25.4 juta daripada Sime Darby Property di Shah Alam | DagangNews Skip to main content

Advancecon raih kontrak infrastruktur utama bernilai RM25.4 juta daripada Sime Darby Property di Shah Alam

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Mei - Advancecon Holdings Bhd memperoleh kontrak bernilai RM25.4 juta daripada Sime Darby Property Bhd bagi menjalankan kerja-kerja infrastruktur utama untuk Tiara Residences di Seksyen 8, Shah Alam.

 

Kumpulan itu menerusi Advancecon Infra Sdn Bhd memperoleh kontrak daripada anak syarikat milik penuh Sime Darby Property Sime Darby Property (Bukit Jelutong) Sdn Bhd.

 

Advancecon dalam satu kenyataan berkata, kerja-kerja itu dijadual siap dalam tempoh 18 bulan, bermula dengan pemilikan tapak pada Jun 2024.

 

Kumpulan itu memainkan peranan penting dalam menyokong pelbagai projek pembangunan Sime Darby Property dengan menyediakan perkhidmatan kerja tanah untuk Bandar Bukit Raja 2 dan 3 di Klang, Selangor, Serenia City di Sepang dan projek taman perindustrian di Pagoh, Johor.

 

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Datuk Phun Ang Kia berkata, rekod prestasi cemerlang dalam menyempurnakan kontrak kerja tanah untuk Sime Darby Property telah membuka jalan untuk satu lagi projek baharu.

 

"Kontrak itu mencerminkan keyakinan mereka terhadap keupayaan dan kualiti perkhidmatan kami.

 

"Kami berharap dapat menyempurnakan kontrak itu dengan baik selain mengukuhkan kedudukan kami sebagai pemain terkemuka dalam industry ini," katanya.- DagangNews.com