Pembinaan apartmen servis Qubaz Suites dengan GDV RM278 juta bakal lonjak sektor pelancongan Terengganu | DagangNews Skip to main content

Pembinaan apartmen servis Qubaz Suites dengan GDV RM278 juta bakal lonjak sektor pelancongan Terengganu

Oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 21 Mei - Pembinaan apartmen servis Qubaz Suites bakal melonjakkan lagi sektor pelancongan dan sosio ekonomi penduduk Terengganu sebagai destinasi pelancongan popular di Malaysia.

 

Projek itu adalah usaha sama antara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dengan pemaju hartanah, Exsim Development Sdn Bhd yang dijangka siap pada tahun 2028.

 

Pengarah Urusan Exsim Development Sdn Bhd, Lim Aik Hoe berkata, projek tersebut memiliki Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM278.1 juta manakala Kos Pembangunan Kasar (GDC) pula berjumlah RM178 juta.

 

Menurutnya, projek itu menawarkan tiga pilihan jenis rumah iaitu jenis studio dengan keluasan 338 kaki persegi sebanyak 184 unit; jenis dua bilik dengan keluasan 506 kaki persegi sebanyak 552 unit dan jenis tiga bilik dengan keluasan 753 kaki persegi sebanyak 23 unit.

 

"Jumlah keseluruhan adalah sebanyak 759 unit dan harga jualan yang ditawarkan adalah bermula dari RM379,500 hingga RM720,000 seunit. 

 

"Syarikat akan berusaha memastikan projek pembangunan ini siap mengikut jadual yang ditetapkan berdasarkan rekod kecemerlangan projek-projek hartanah terdahulu," katanya.

 

 

wainuiomata
Konsep Airbnb untuk pengurusan Qubaz Suites bakal menjana pendapatan pasif kepada pemilik apartment.

 

wainuiomata
Majlis pecah tanah projek pembinaan Qubaz Suites di Kampung Tiong, Kuala Terengganu hari ini.

 

 

Majlis perasmian pecah tanah projek pembinaan Qubaz Suites itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa 
Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah dekat Kampung Tiong di sini hari ini.

 

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Rosli Latif berkata, objektif pertama projek pembangunan Qubaz Suites adalah untuk menggerakkan ekonomi bandar melalui sektor pelancongan terutama di bandaraya pesisir air tersebut.

 

"Pelaksanaan projek ini yang berkonsepkan Airbnb yang mempunyai 759 unit penginapan akan menawarkan kualiti penginapan yang lebih selesa kepada para pelancong. 

 

"Saya yakin projek ini akan menjadi pilihan kepada para pelancong kerana lokasinya berada di dalam “tourism belt” bandar raya Kuala Terengganu.

 

"Lokasinya sangat berhampiran dengan destinasi pelancongan popular seperti Pasar Payang, Kampung Cina, Pulau Warisan dan Jambatan Angkat Kuala Terengganu," katanya.

 

Tambahnya, objektif kedua adalah untuk meningkatkan jumlah pegangan hartanah bumiputera di dalam bandar.
    

"Kerajaan Negeri telah meletakkan syarat kuota bumiputera di dalam projek ini adalah tidak kurang daripada 70 peratus daripada jumlah unit yang dibina. 

 

 

unisza

 

 

"Pelaksanaan projek yang berkonsepkan Airbnb ini akan menjana pendapatan pasif kepada pembeli dan  meningkatkan taraf ekonomi golongan Bumiputera," katanya.

 

Selain itu, beliau berkata, melalui pembangunan secara usahasama itu, MBKT akan mendapat pulangan sebanyak RM22.5 juta dalam bentuk tunai dan pemilikan hartanah di Qubaz Suites.

 

"Setelah projek ini siap dan beroperasi, MBKT dijangka akan menambahkan pendapatan sebanyak RM1 juta setahun melalui cukai pintu, bayaran lesen dan bayaran-bayaran per unit.

 

"Melalui peningkatan pendapatan ini, MBKT akan dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat," katanya. - DagangNews.com