Hibiscus Petroleum catat untung bersih lebih rendah RM108.7 juta pada 4QFY24 | DagangNews Skip to main content

Hibiscus Petroleum catat untung bersih lebih rendah RM108.7 juta pada 4QFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Hibiscus Petroleum Bhd mencatatkan untung bersih lebih rendah sebanyak RM108.68 juta pada suku keempat berakhir 30 Jun 2024 (4QFY24) berbanding RM123.28 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Hasil kumpulan itu bagi suku berkenaan bagaimanapun meningkat RM738.05 juta berbanding RM503.6 juta pada 4QFY23.

 

Bagi FY24, untung bersih kumpulan meningkat kepada RM467.12 juta daripada RM400.52 juta pada tahun lalu manakala hasilnya meningkat kepada RM2.72 bilion daripada RM2.34 bilion pada tahun lalu.

 

"Sepanjang FY24, kumpulan itu melaporkan jualan 7.85 MMboe minyak, kondensat dan gas melebihi panduan asal 7.5 hingga 7.8 MMboe. Ia adalah 10% lebih tinggi daripada jumlah jualan pada FY23.

 

"Kumpulan itu menghasilkan purata 20,144 boe/hari minyak bersih, kondensat dan gas pada 4QFY24," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Pengarah Urusan Hibiscus Petroleum, Kenneth Pereira berkata, jumlah jualan kumpulan pada suku keempat dan keseluruhan tahun kewangan telah melebihi panduannya.

 

"Keputusan ini menekankan daya tahan operasi dan kekuatan kewangan kumpulan.

 

"Cadangan pengambilalihan 37.5% kepentingan dalam medan gas MLJ di Brunei, bersama-sama dengan kepentingan utama dalam pembangunan dan aset penerokaan di luar pesisir Semenanjung Malaysia, bukan sahaja sejajar dengan pertumbuhan dan strategi peralihan tenaga kami, tetapi juga menunjukkan bahawa kami sedang muncul sebagai sebuah pemain E&P yang penting di Asia Tenggara," katanya.

 

Beliau berkata, aktiviti pertumbuhan jangka pendek akan dibiayai melalui dana dalaman dan kemudahan hutang sedia ada memandangkan nisbah penggearan konservatif 0.12x pada akhir Jun 2024. - DagangNews.com