KUALA TERENGGANU 5 Sept - Himpunan 231 pemilik Campervan & Motorhome Malaysia (PCMM) di Tasik Kenyir baru-baru ini akan terus merancakkan lagi industri pelancongan dan ekonomi negeri Terengganu.
Presiden PCMM, Farman Othman berkata, pihaknya yakin dengan komitmen tinggi kerajaan negeri Terengganu, hasrat untuk menjadikan negeri itu sebagai lokasi tarikan pelancongan bagi kenderaan rekreasi (RV) akan tercapai.
Menurutnya, Tasik Kenyir adalah salah satu tempat percutian yang sangat menarik di Malaysia namun masih kekurangan kemudahan penginapan.
"Tapak perkhemahan untuk kenderaan rekreasi seperti motorhome dan campervan adalah pilihan terbaik di sini dan kami gembira kerana kerajaan negeri juga menyedari potensi besar industri pelancongan dan ekonomi melalui aktiviti ini.
"Camper Rally Terengganu baru-baru ini telah berjaya menghimpunkan sebanyak 231 buah RV, termasuk 12 dari Thailand, enam Jerman dan sebuah dari United Kingdom.
"Jumlah itu berjaya dicatatkan dalam The Malaysia Book of Records sebagai Most Recreational Vehicle (RV) in a Rally Gathering, sekaligus memecahkan rekod tahun lalu yang diadakan di Taman Wetland Putrajaya yang membabitkan 122 kenderaan rekreasi (RV)," katanya kepada DagangNews hari ini.
Seorang peserta, Normah Abas, 59, berkata, Terengganu memiliki banyak lokasi pelancongan yang boleh diterokai oleh pemilik kenderaan rekreasi terutama di sepanjang jajaran pantainya yang masih terpelihara dari sebarang pencemaran.
"Sayang sekiranya ia tidak dibangunkan kerana ini adalah trend yang semakin popular untuk pelancong terutama pemilik kenderaan rekreasi menjelajah ke seluruh negara dengan kos yang menjimatkan berbanding menginap di hotel.
"Macam di Kenyir baru-baru ini, kami sangat terharu dengan kesungguhan kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) untuk memastikan program berjalan dengan lancar.
"Saya yakin dengan lebih banyak penambahbaikan prasarana kemudahan untuk kenderaan rekreasi dilakukan selepas ini, Terengganu akan menjadi negeri pilihan peminat aktiviti ini," katanya yang memiliki motorhome jenis Isuzu Rodeo.
Program yang diadakan bermula 1 hingga 3 September itu juga berjaya menarik kedatangan pengunjung dan peminat kenderaan rekreasi untuk mengenali lebih terperinci kenderaan itu dan bertukar-tukar fikiran bersama pemiliknya.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Tun Faisal Tun Abdul Razak berkata, kerajaan negeri sangat komited untuk membangunkan lokasi bersesuaian untuk aktiviti RV di setiap daerah bagi memastikan limpahan ekonomi turut dirasai komuniti setempat.
"Memang kita telah kenal pasti beberapa lokasi yang berpontensi dijadikan kawasan pelancongan RV seperti Pantai Peranginan Rhu 10 di Setiu, Pulau Kekabu di Marang serta Pantai Teluk Kalong di Kemaman selain di Tasik Kenyir," katanya. - DagangNews.com