HLIB berhati-hati dengan langkah IJM Corporation beli pegangan dalam Pestech International | DagangNews Skip to main content

HLIB berhati-hati dengan langkah IJM Corporation beli pegangan dalam Pestech International

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Julai - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research kekal berhati-hati dengan langkah IJM Corporation Berhad menjadi pemegang saham strategik Pestech International Berhad kerana ia perlu memainkan peranan untuk memulihkan syarikat itu.

 

Firma itu berkata, walaupun harga pemerolehan pegangan itu agak murah, IJM perlu berusaha untuk memulihkan prospek syarikat itu.

 

"Risiko jangka pendek datang daripada kelemahan operasi berterusan Pestech dan potensi kemerosotan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, terdapat sinergi yang timbul daripada pengambilalihan itu kerana rekod prestasi Pestech dalam projek penghantaran tenaga ditambah dengan pengalaman E&C IJM boleh membuka pintu kepada lebih banyak projek pembinaan loji janakuasa.

 

Dalam segmen kereta api, firma itu berkata, kerjasama boleh menghasilkan tawaran yang lebih bersepadu untuk menyertai Transit Aliran Massa 3, Transit Aliran Ringan Pulau Pinang dan Landasan Berkembar Lembah Klang 2 yang akan datang serta peluang di Thailand.

 

"IJM, melalui Pestech, juga boleh memanfaatkan pasaran besar yang boleh ditangani bagi peningkatan grid kuasa yang diunjurkan pada AS$1 trilion (hingga 2040) di Asia Tenggara," katanya.

 

Firma itu berkata, pendapatan FY23 Pestech boleh datang dalam julat RM500 juta hingga RM600 juta manakala suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) tidak mungkin mengalami kemerosotan yang besar.

 

Katanya, sumbangan Pestech hanya akan ditunjukkan dalam keputusan 3QFY24 IJM dan seterusnya selepas selesai transaksi dalam 4QCY23.

 

Melangkah ke hadapan, firma itu menganggarkan bahawa penamatan kontrak daripada projek Gemas-Johor Bahru mungkin terdapat kemerosotan yang berkaitan dengan RM17-20 juta kerja tidak dituntut dan RM15-20 juta jumlah pengekalan.

 

Oleh itu, ia mengekalkan saranan 'beli' ke atas IJM dengan harga sasaran RM1.88 sesaham. DagangNews.com