HLIB jangka Pecca terus berdepan saingan sengit dalam segmen penjagaan kesihatan | DagangNews Skip to main content

HLIB jangka Pecca terus berdepan saingan sengit dalam segmen penjagaan kesihatan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Mac - Hong Leong Investment Bank Research menjangkakan Pecca Group akan terus berhadapan saingan sengit dalam segmen penjagaan kesihatan selepas kumpulan itu merekodkan pendapatan lebih rendah bagi 2QFY22.

 

Firma penyelidikan itu berkata,  ia disebabkan penstrukturan semula produk dan pengedaran semasa suku itu selepas berlakunya peningkatan pemintaan dalam segmen pelitup muka pernafasan dan berlaku penurunan dari segi permintaan pelitup muka tiga lapis akibat persaingan.

 

"Ketika ini sumbangan daripada pasaran masih di tahap minimum manakala kapasiti pembuatan semasa adalah pada paras 50%.

 

"Pihak pengurusan juga membatalkan cadangan pengambilalihan 51% saham Rentas Health dalam usaha mengekalkan paras aliran tunai untuk kegunaan perkembangan syarikat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pembuatan untuk tempat duduk kulit berada pada kapasiti penuh selepas industri pembuatan automotif menerima permintaan tinggi selain berjaya memenuhi permintaan tertunggak.

 

"Bagaimanapun, Pecca mengalami penurunan dari segi margin keuntungan pada 2QFY2022 akibat peningkatan kos logistik dan penghantaran.

 

"Pengurusan kumpulan menjelaskan bahawa kos yang tinggi itu boleh diatasi menerusi pelanggan OEM dalam suku berikutnya dan kami menjangkakan Pecca akan meneruskan pengeluaran yang tinggi bagi memperbaiki margin keuntungan pada 2HFY2022," katanya.

 

Mengulas mengenai percancangan pengembangan perniagaan, firma penyelidikan itu berkata, Pecca baru-baru ini berjaya mendapatkan tanah di kawasan industri Serendah seluas 4.31 ekar dan akan digunakan untuk pembinaan kilang pembuatan tempat duduk kulit bagi melengkapi kilang sedia ada yang sudah mencapai kapasiti maksimum.

 

Katanya, kilang baharu itu akan memulakan operasi menjelang 4QCY24 dan ia juga akan memenuhi pembangunan produk baharu dengan peruntukan Capex sebanyak RM80 juta untuk pembinaan dan RM50 juta untuk mesin serta kelengkapan.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saran 'jual' untuk saham Pecca pada harga RM1.90 walaupun mereka akan mendapat manfaat daripada peningkatan jumlah keseluruhan indsutri (TIV) menerusi pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan namun mereka percaya harga saham semasa melebihi pendapatan asas kumpulan. - DagangNews.com