HLIB jangka prestasi Frontken terus kukuh dipacu operasi yang lebih baik | DagangNews Skip to main content

HLIB jangka prestasi Frontken terus kukuh dipacu operasi yang lebih baik

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Nov - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan prestasi kukuh Frontken Corporation Berhad dipacu oleh kecemerlangan operasi yang menghasilkan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih baik.

 

Firma itu berkata, permintaan berterusan kekal sebagai pemangkin pertumbuhan dan akan membawa kepada lebih banyak penyelidikan , reka bentuk dan pembuatan cip pada tahun-tahun mendatang.

 

Katanya, segmen semikonduktor menyumbang 80% kepada hasil kumpulan bagi 3QFY22.

 

"Walaupun pelarasan inventori dan pertumbuhan makroekonomi lebih perlahan ia akan diimbangi oleh peningkatan yang mampan bagi teknologi termaju peneraju industri.

 

"Frontken percaya permintaan berterusan kekal sebagai pemangkin pertumbuhan," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu menjangkakan perniagaan minyak dan gas (O&G) terus kukuh untuk baki 2022 disebabkan peningkatan pendapatan daripada pelbagai kontrak.

 

Kumpulan itu berkata, kontrak itu adalah untuk penyediaan bekalan tenaga kerja dan juga perkhidmatan peralatan mekanikal dan alat ganti yang dimiliki syarikat itu dengan kumpulan Petronas.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM3.20 sesaham.

 

"Kami menyukai Frontken berdasarkan beberapa faktor termasuk prospek pasaran semikonduktor global yang kukuh selain pelaburan dalam segmen fabrikasi.

 

"Kumpulan itu juga memiliki kunci kira-kira yang stabil dengan tunai bersih sebanyak RM296 juta atau RM18.7 sesaham untuk menyokong pengembangan perniagaan semikonduktor di Taiwan dan Singapura," katanya. - DagangNews.com