Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Jan - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan penarafan BELI pada Focus Point dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM1.03.
Dalam nota analisisnya hari ini, HLIB Research berkata, ia tetap yakin dengan model perniagaan berskala Focus Point kerana menganggap kedua-dua segmen optik dan makanan & minuman (F&B) mampu meningkat sepenuhnya apabila keadaan operasi kembali normal.
Ujarnya, Focus Point sedang meningkatkan kedai konsep optik baharu mereka yang digelar sebagai Anggun Optometrist untuk memenuhi pasaran Melayu kelas atas yang belum diterokai.
"Kami mendapati bahawa 5 lokasi telah dijamin untuk cawangan baharu dengan sasaran untuk melancarkan 12-15 kedai untuk FY22.
"Pengurusan Kumpulan menjangkakan saiz tiket lebih tinggi daripada pasaran sasaran ini.
"Pengembangan dalam perniagaan optik akan membolehkan kumpulan itu tawar-menawar untuk mendapatkan rebat yang lebih tinggi daripada pembekal utamanya yang kebanyakannya merupakan jenama asing yang terkemuka," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.
Kumpulan itu baru-baru ini melancarkan cawangan Komugi yang diperluas di 1Utama dan kedai Komugi berkonsepkan kedai jalanan baharu di USJ Taipan, yang menjadikan jumlah keseluruhan cawangan kepada 11 kedai.
"Pelanggan korporat utama Focus Point terus menyumbang secara positif dengan jualan RM1.5 juta hingga RM1.6 juta sebulan untuk sejumlah 14 SKU.
"Pertumbuhan organik ini dijangka berterusan daripada pengembangan cawangan dan mesin layan diri oleh pelanggan," katanya.
"Bagi F&B, kami menjangkakan kebarangkalian tinggi untuk mendapatkan pelanggan korporat F&B baharu memandangkan populariti tawaran produk semasanya dan pensijilan ISO22000 baharu yang diterimanya baru-baru ini," katanya. -DagangNews.com