HLIB kekal saranan 'beli' untuk Velesto dengan jangkaan perolehan lebih kukuh pada suku tahun akan datang | DagangNews Skip to main content

HLIB kekal saranan 'beli' untuk Velesto dengan jangkaan perolehan lebih kukuh pada suku tahun akan datang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Julai - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'beli' untuk Velesto Energy Bhd dengan harga sasaran (TP) 35 sen sesaham dengan jangkaan perolehan kukuh pada suku tahun akan datang.

 

Katanya, perolehan lebih kukuh itu didorong permintaan tinggi untuk pelantar jack-up yang berterusan di Asia Tenggara.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pada suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24), ia menjangkakan penggunaan pelantar jack-up Velesto kekal melebihi 90% dengan penggunaan setahun penuh melebihi 85%, lebih tinggi berbanding 83% pada FY23. 

 

"Pembaharuan kontrak dengan Petronas Carigali, yang menampilkan kadar sewa harian lebih tinggi kira-kira AS$140,000 (RM660,766)  akan menyumbang secara positif kepada pendapatan Velesto bermula suku kedua tahun ini.

 

"Kami menjangkakan pendapatan kumpulan itu akan meningkat sebanyak 89% pada FY24 dengan tambahan peningkatan 9.6% pada FY25.

 

"Secara keseluruhanm kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 35 sen sesaham," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, firma penyelidikan itu berkata, impak pendapatan Velesto secara relatifnya terlindung berikutan kebanyakan syarikat utama minyak di rantau Asia Tenggara menyokong permintaan pelantar penggerudian dengan empat daripada enam pelantar jack-up berada di bawah kontrak jangka panjang piagam berjangka dengan kadar terjamin sehingga akhir 2025.

 

Sementara itu, piagam Naga 3 dan 5 untuk FY25 sedang dalam bidaan dan rundingan.

 

“Kadar penggunaan tahun penuh untuk FY24 seharusnya berada pada 85% (berbanding FY23: 83%) kerana ia kekal melebihi 90% pada suku kedua 2024, tetapi penggunaan armada yang agak rendah pada separuh kedua 2024 disebabkan oleh SPS (kaji selidik berkala khas) yang dijadualkan untuk Naga 2 dan 5 pada suku ketiga 2024 dan Naga 3 serta 6 pada suku keempat tahun ini,” katanya. - DagangNews.com