HLIB kekal saranan 'jual' untuk saham TCM bimbang saingan sengit pasaran tempatan | DagangNews Skip to main content

HLIB kekal saranan 'jual' untuk saham TCM bimbang saingan sengit pasaran tempatan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Mac - Hong Leong Investment Bank Research mengekalkan saranan 'jual' untuk saham Tan Chong Motor (TCM) Holdings pada harga RM1 selepas bimbang kumpulan itu akan terus berdepan saingan sengit daripada pasaran tempatan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, jualan dan pengeluaran menjadi semakin normal bermula 4QFY2021 dan pengurursan menjangkakan momentum itu akan kekal hingga 1HFY22.

 

"Kami percaya kumpulan itu akan memperkenalkan model Nissan Kicks, Nissan X-Trail dan Serena pada 2022 meskipun pihak pengurusan tidak memberi sebarang gambaran terhadap perkara itu.

 

"Bagaimanapun kami kekal berhati-hati dengan cabaran pasaran tempatan dengan kehadiran model kenderaan seperti Honda City, Honda City Hatchback, Toyota Vios, Toyota Yaris dan Proton X50 yang bakal memberikan saingan dalam segmen harga antara RM80,000 ke RM100,000," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

HLIB berkata, 4QFY2021 menununjukkan peningkatan positif dari segi keuntungan sebanyak RM34.5 juta selepas pemulihan pasaran automotif di Malaysia dan Vietnam selepas penarikan smeula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak pertengahan Ogos dan pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur.

 

Katanya, pasaran Laos dan kemboja juga kembali pulih pada suku yang sama apabila kerajaan secara beransur-ansur bergerak ke peringkat endemik. 

 

Keadaan sama turut berlaku di Myanmar dengan rakyat mula menjalankan aktiviti harian dan pernigaan beroperasi seperti biasa.

 

"Sama seperti Malaysia, jumlah jualan meningkat kepada 1,228 unit pada 4QFY21 sejak sempadan negara Vietnam dibuka bermula Ogos lalu dan TCM merupakan pengedar eksklusif untuk model MG dan pikap SGMW serta van kargo di negara itu," katanya.

 

Dalam pada itu, firma penyelidikan itu berkata, pihak pengurusan kumpulan itu sedang memberi fokus kepada model perniagaan langganan kereta yang telah mendapat perhatian sebanyak 2,843 unit (1,780 unit pada 2020) di bawah platform GoCar Subs. - DagangNews.com