HLIB kekal saranan 'overweight' terhadap sektor perladangan susulan kenaikan harga minyak sawit mentah | DagangNews Skip to main content

HLIB kekal saranan 'overweight' terhadap sektor perladangan susulan kenaikan harga minyak sawit mentah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 April - Hong Leong Investment Bank Research mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor perladangan selepas mengambil kira peningkatan harga minyak sawit mentah (MSM) yang akan menyumbang kepada pendapatan positif.

 

Harga purata MSM semasa adalah RM6,160 bagi setiap tan iaitu lebih tinggi berbanding jangkaan HLIB iaitu RM4,300 untuk 2022.

 

"Kami percaya harga MSM akan melepasi jangkaan harga bagi tahun 2022-24 iaitu RM4,300/RM3,300/RM3,300 bagi setiap tan dan kami tidak akan mengubah jangkaan itu selepas mengambil kira kadar kecairan semasa.

 

"Berdasarkan kepada jangkaan kami, kenaikan RM100 bagi setiap tan dalam unjuran yang dibuat akan meningkatkan unjuran pendapatan stok perladangan di bawah perlindungan kami sebanyak 3.5% hingga 15.0%," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Sementara itu, Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) melaporkan, petani-petani AS berhasrat untuk menanam kacang soya di atas tanah berkeluasan 91 juta ekar (+4.3% berbanding 2021) dan 89.5 juta ekar tanah untuk jagung (-4.1% berbanding 2021)

 

Seandainya perkara itu berlaku, ia akan menjadi kali ketiga di dalam sejarah tanaman soya mengatasi jagung dengan kali pertama ia dilakukan pada 1983 apabila kerajaan AS menggesa petani mengurangkan tanaman jagung dalam usaha meningkatkan harga hasil pertanian.

 

Kali kedua ia dilakukan pada 2018, selepas Presiden Donald Trump terlibat dengan perang perdangangan dengan China sekali gus mengganggu jualan eksport.

 

"Sentimen penurunan harga kacang soya juga memberi kesan positif kepada harga MSM dalam jangka masa pendek kerana permintaan terhadap minyak sayuran semakin tinggi," katanya. - DagangNews.com