HLIB naik taraf saham Kimlun kepada 'beli' selepas raih kontrak RM780 juta | DagangNews Skip to main content

HLIB naik taraf saham Kimlun kepada 'beli' selepas raih kontrak RM780 juta

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Nov - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menyemak naik saranan 'beli' terhadap Kimlun Corp. Bhd. berbanding 'pegang' sebelum ini dengan harga sasaran juga lebih tinggi pada RM1.07 daripada 85 sen. 

 

Prospek positif ini diraih selepas Kimlun memperoleh projek pembinaan Rangkaian Jalan Sarawak-Sabah (SSLR) bagi persimpangan Lawas-Long Lopeng bernilai RM780 juta oleh Samling Resources Sdn Bhd. 

 

Dalam nota kajian hari ini, penganalisisnya, Edwin Woo berkata, kontrak pembinaan baharu bagi tahun kewangan 2021 (FY21) berjumlah RM800 juta, adalah melepasi jangkaan firma itu dan juga konsensus.

 

"Menerusi kontrak yang baru diperoleh ini, pesanan pembinaan Kimlun meningkat 2 kali ganda daripada RM800 juta kepada RM1.6 bilion, menyamai paras pada FY21," katanya.

 

Malah, firma itu turut menaikkan unjuran pendapatan bagi FY22-FY23 sebanyak 9% dan 8.9% selepas mengambil kira kontrak yang baru diperoleh kumpulan.

 

"Tetapi, pendapatan FY21 kami menurun sedikit kira-kira 0.1% dengan mengandaikan pengiktirafan selepas penangguhan kepada FY22," tambahnya.

 

Menurut Woo, Kimlun mempunyai peluang luas untuk meraih beberapa projek antaranya fasa kedua Pan Borneo Sarawak, Transit Rel Autonomi Kuching, projek hospital, kerja-kerja bangunan sektor swasta dan Sistem Transit Rapid Johor-Singapura (RTS). 

 

Selain itu, katanya, pelaksanaan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) dengan Singapura dapat membantu memulihkan sektor swasta di Johor dan memanfaatkan pemain tempatan seperti Kimlun.

 

"Kerja-kerja awam untuk RTS juga akan dipercepatkan sebaik sahaja pemindahan utiliti dilakukan menjelang tahun depan dan sepatutnya membuka peluang kepada pratuang selain pesanan berterusan daripada Singapura.

 

"Di samping itu, pelancaran semula MRT3 (meskipun garis masa masih tidak menentu) adalah bonus kepada Kimlun yang memiliki rekod membekalkan produk pratuang ketuka projek MRT1 dan MRT2," katanya.

 

Sehubungan itu, beliau yakin Kimlun akan memiliki buku pesanan dan kontrak yang kukuh dan menyakinkan apabila memasuki 2022. 

 

Setakat 11.45 pagi, harga saham Kimlun susut 3 sen atau 3.39% kepada 85.5 sen dengan 714,600 saham diniagakan. - DagangNews.com