HLIB semak naik unjuran untung bersih Sime Darby Plantation bagi FY22-FY23 | DagangNews Skip to main content

HLIB semak naik unjuran untung bersih Sime Darby Plantation bagi FY22-FY23

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Feb - Unjuran untung bersih teras Sime Darby Plantation Bhd. dinaikkan sebanyak 27.6% dan 32% masing-masing bagi tahun kewangan 2022 (FY22) hingga FY23 sejajar dengan harga minyak sawit mentah (MSM) yang disemak lebih tinggi, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research. 

 

Firma itu sebelum ini mengunjurkan harga MSM bagi 2022 berlegar pada paras RM4,300 satu tan metrik manakala RM3,300 bagi 2023.

 

Penganalisisnya, Chye Wen Fei berkata, semakan semula unjuran bagi Sime Darby Plantation itu mengambil kira anggaran kos pengeluaran MSM bagi segmen huluan dan margin pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) yang lebih tinggi bagi segmen hiliran. 

 

Beliau juga mengekalkan penarafan saham syarikat perladangan ini dengan saranan 'beli' dan harga sasaran lebih tinggi pada RM5.95 berbanding RM4.48 sebelum ini. 

 

"Sime Darby Plantation kekal sebagai pilihan utama kami bagi sektor perladangan memandangkan manfaat operasi yang lebih tinggi kepada harga MSM. 

 

"Selain itu, langkah proaktifnya untuk menangani isu larangan yang dikenakan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) mungkin akan membuka jalan untuk mengurangkan kebimbangan terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Baca : Sime Darby catat hasil FY21 lebih baik, didorong lonjakan harga MSM

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan Jumaat lalu, untung bersih Sime Darby Plantation bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021 melonjak lebih 214% kepada RM468 juta berbanding RM149 juta bagi tempoh sama 2020.

 

Pendapatan bagi tempoh itu turut meningkat kepada RM5.55 bilion berbanding RM3.64 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Walaupun pengeluaran buah tandan segar adalah lebih rendah pada suku semasa, tetapi harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi membantu melonjakkan prestasi kewangan kumpulan, yang menyaksikan semua segmen merekodkan keuntungan tahun ke tahun yang lebih tinggi.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21) pula, untung bersih meningkat kepada RM2.26 bilion berbanding RM1.19 bilion manakala pendapatan melonjak kepada RM18.7 bilion berbanding RM13.08 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Sime Darby Plantation turut menjangkakan harga MSM akan berlegar pada pada paras RM5,000 ke RM5,500 satu tan metrik pada separuh pertama tahun ini.

 

Wen Fei berkata, prestasi kewangan yang dicatatkan Sime Darby Plantation adalah memenuhi jangkaan firma dan mengatasi ramalan konsensus. 

 

"Keputusan ini berada dalam jangkaan kami, menyumbang 98.7% daripada anggaran kami. Berbanding dengan konsensus, keputusan ini adalah melebihi anggaran konsensus sebanyak 11%," tambahnya.

 

Menurut beliau, pengurusan menjangkakan prestasi kukuh dalam segmen hiliran (yang menunjukkan prestasi baik pada suku keempat 2021) akan berterusan sehingga FY22. 

 

Ini kerana, ia menjangkakan ketidaktentuan pasaran dan kekurangan bekalan akan berterusan (dan ini biasanya membantu bahagian menjana pendapatan yang lebih baik).

 

"Kumpulan juga tidak melihat kesan ketara daripada peraturan baharu Indonesia (yang memerlukan pengeluar minyak sawit domestik menjual 20% daripada keluaran mereka kepada syarikat penapisan tempatan pada harga tetap)," jelasnya. 

 

Setakat 10.20 pagi, harga sahamnya susut 16 sen atau 3.27% kepada RM4.74 dengan 1.6 juta saham diniagakan. - DagangNews.com