KUALA LUMPUR 22 Dis - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengunjurkan sektor pengguna terus kukuh didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan selain peningkatan dalam rantaian bekalan dan margin stabil dengan penurunan harga komoditi.
Firma itu berkata, syarikat yang menyediakan kemudahan pelanggan yang lebih baik akan mempunyai kelebihan dalam meraih lebih banyak keuntungan.
"Bagaimanapun, pelbagai cabaran akan dihadapi sektor itu termasuk sentimen pengguna yang semakin lemah, risiko kemelsetan ekonomi, kenaikan kadar inflasi yang melemahkan prospek masa hadapan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, pendapatan sektor itu bagi 3QFY22 adalah bercampur-campur, kerana tekanan inflasi dan kenaikan kadar faedah sebahagiannya mengheret merit pembukaan semula.
Katanya, empat daripada syarikat di bawah liputan mereka berjaya mencapai unjuran (Aeon Co (M) Berhad, Berjaya Food Berhad, Focus Point Holdings Berhad, Nestle (M) Berhad), manakala satu masuk di bawah (Mr D.I.Y Group (M) Berhad) dan satu melebihi anggaran (QL Resources Berhad).
"Secara keseluruhan, trend menunjukkan kelemahan dalam pendapatan suku ke suku dengan ketiadaan musim perayaan ditambah pula dengan normalisasi selepas paras tertinggi pembukaan semula.
"Sementara itu, peningkatan tahun ke tahun sebahagian besarnya positif, hasil daripada kesan asas yang rendah daripada operasi perniagaan yang tidak optimum pada FY21," katanya.
Firma itu berkata, margin keuntungan terus berdepan cabaran dengan peningkatan kos input (bahan mentah, gaji minimum yang lebih tinggi serta kenaikan surcaj tarif elektrik).
Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu. - DagangNews.com