Ho Hup Construction fokus penjimatan kos, tingkatkan kecekapan operasi | DagangNews Skip to main content

Ho Hup Construction fokus penjimatan kos, tingkatkan kecekapan operasi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Mei - Ho Hup Construction Company Berhad akan terus melaksanakan langkah penjimatan kos bagi membantu mengekalkan margin keuntungan kumpulan dalam melaksanakan projek pada masa hadapan.

 

Pengerusinya, Tan Sri Dr. Mazlan Lazim berkata, langkah itu juga adalah sebahagian daripada usaha untuk mendepani cabaran pada masa akan datang.

 

Katanya, pihaknya akan sentiasa memberi fokus kepada meningkatkan kecekapan operasi mereka.

 

"Kami yakin bahawa dengan keadaan ekonomi yang semakin baik dan tanpa sebarang keadaan tidak dijangka, 2023 akan menjadi tahun yang berjaya bagi kumpulan ini," katanya dalam Laporan Tahunan kepada Bursa Malaysia.

 

Beliau berkata, walaupun COVID-19 telah mula reda tetapi kesan terhadap ekonomi masih dirasai dalam dunia perniagaan.

 

Katanya, dalam sektor hartanah tempatan, peningkatan kos dan tekanan inflasi terus menjadi cabaran utamanya.

 

Mazlan berkata, kumpulan itu baru-baru ini melihat beberapa perkembangan yang sangat positif dalam penjualan 

 

"Sebagai contoh, selepas pelonggaran sekatan perjalanan, Projek Mahkota kami di Kota Kinabalu telah menyaksikan peningkatan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

 

"Kami juga mendaftarkan lebih banyak jualan dalam projek Laman Iskandaria, Kulai dan respon positif yang sama dijangkakan dengan pelancaran Flex @ Bukit Jalil di Bukit Jalil - projek dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM860 juta," katanya.

 

Terdahulu, hasil kumpulan untuk FY22 ialah RM213 juta, kira-kira RM13.9 juta atau 7% lebih tinggi daripada hasil pada tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu juga melaporkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM25.8 juta berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM21 juta pada FY21.

 

Kerugian bersih kumpulan bagi FY22 adalah RM36.4 juta berbanding RM24.9 juta pada tahun sebelumnya. - DagangNews.com