Homeritz dijangka terus berdepan peningkatan kos pengeluaran, turun naik kadar tukaran mata wang asing | DagangNews Skip to main content

Homeritz dijangka terus berdepan peningkatan kos pengeluaran, turun naik kadar tukaran mata wang asing

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Jan - Homeritz Corp Berhad dijangka terus berdepan peningkatan kos pengeluaran selain turun naik dalam kadar pertukaran mata wang asing pada suku tahun akan datang.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, mereka akan kekal fokus kepada perniagaan teras iaitu pembuatan dan penjualan perabot rumah termasuk sofa, kerusi makan dan kerangka katil.

 

"Kami juga akan terus memberi fokus kepada penghasilan produk baharu, rekaan baharu untuk produk sedia ada selain memberi tumpuan kepada kecekapan kos merentasi semua segmen pengurusan.

 

"Menerusi pendekatan ini, kumpulan percaya dapat menghasilkan prospek positif bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2024," katanya.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan peningkatan untung bersih kepada RM9.04 juta pada suku pertama berakhir 30 November 2023 (1QFY24) berbanding RM6.3 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Hasil kumpulan itu juga melonjak kepada RM53.7 juta berbanding RM38.9 juta pada 1QFY23.

 

"Kumpulan itu mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 16.82% kepada RM53.7 juta berbanding RM46.02 juta bagi 4QFY23 dan disokong oleh peningkatan jumlah jualan perabot bagi suku tahun itu," katanya.

 

Homeritz bagaimanapun tidak menetapkan sebarang unjuran keuntungan atau jaminan keuntungan bagi suku tahun akan datang. - DagangNews.com