Honda Malaysia lancar Civic baharu dengan enjin 1.5L i-VTEC Turbocharged | DagangNews Skip to main content

Honda Malaysia lancar Civic baharu dengan enjin 1.5L i-VTEC Turbocharged

Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Sarly Adle Sarkum (kiri) bersama Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo (kanan) semasa Majlis Pelancaran Honda Civic Generasi Ke-11, hari ini.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Jan -  Honda Malaysia melancarkan model Civic Generasi ke-11 dengan reka bentuk terbaharu hari ini dengan enjin 1.5L i-VTEC Turbocharged dalam usaha merancakkan pasaran selain mengekalkan kedudukan sebagi model No.1 dalam segmen C.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo berkata, pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) mereka telah memberikan segala usaha dan idea dalam reka bentuk bahagian luaran, dalaman serta pakej keseluruhan kereta sedan itu.

 

Beliau berkata, model itu merupakan terjemahan unsur klasik disamping memberi fokus kepada nilai-nilai Honda. 

 

"Konsep reka bentuk baharu ini memberikan identiti moden untuk sebuah sedan selain dilengkapi dengan ciri-ciri dan teknologi terkini, ia masih mengekalkan DNA model Civic dari segi rekabentuk, pengendalian dan prestasi berkuasa. 

 

"Model baharu ini direka dengan sepenuh jiwa, diinspirasikan dari sebuah Legasi dan dibina untuk masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Honda Civic Generasi ke-11 ditawarkan dalam tiga varian termasuk E, V dan RS pada harga bermula serendah RM125,634.64.

 

honda
Madoka Chujo

 

Model itu didatangkan didatangkan dengan enjin 1.5L i-VTEC Turbocharged yang dipertingkatkan dalam semua varian dengan tawaran pemanduan menyeronokkan dengan tenaga maksimum 182PS dan tork terbaik di dalam segmennya, 240Nm - menjadikan enjin ini lebih berkuasa dari enjin 2.4L. 

 

Civic baharu itu juga mempunyai mod pemanduan baharu: ECON, Normal dan Sport Mode yang mudah dipilih menggunakan suis Drive Mode. 

 

Sport Mode memberikan sensasi tork yang berkuasa serta pecutan yang responsif, sesuai dengan DNA pemanduan prestasi Civic.

 

Chujo berkata, penerimaan pasaran untuk enjin Turbocharged Honda itu mendapat sambutan luar jangka dan sejak itu sebanyak 60% model Civic yang terjual adalah dari varian itu.

 

"Kami amat berbangga untuk menawarkan kepada rakyat Malaysia enjin VTEC Turbocharged yang dikemaskini untuk Civic Generasi ke-11 dan ia akan mengukuhkan kedudukan model itu dalam segmen C," katanya. - DagangNews.com