Honda Malaysia panggil balik 1,527 kenderaan sebagai langkah berjaga-jaga | DagangNews Skip to main content

Honda Malaysia panggil balik 1,527 kenderaan sebagai langkah berjaga-jaga

Honda Malaysia memberi jaminan bahawa semua model pengeluaran dan penjualan semasa tidak terjejas dalam penarikan balik produk ini.

KUALA LUMPUR 21 Jun – Honda Malaysia memanggil balik 1,527 unit kenderaan melibatkan model City, City Hatchback, HR-V dan BR-V sebagai langkah berjaga-jaga.


Butiran model yang terjejas adalah dalam Jadual 1.

honda
 Jadual 1: Model yang terlibat dalam panggilan balik sebagai langkah berjaga-jaga

 

Panggilan balik adalah untuk situasi berikut:

A. Pemeriksaan tork nat pada ACG

Penarikan balik ini merupakan langkah keselamatan berjaga-jaga untuk memeriksa pengetatan nat pada Alternating Current Generator atau ACG pada terminal abah-abah enjin. Ini boleh menyebabkan terminal terjejas dan bateri rosak yang boleh menyebabkan enjin terhenti semasa memandu atau tidak dapat menghidupkan enjin
selepas kereta berhenti. Model yang terjejas ialah 1,068 unit City model tahun 2021 dan City Hatchback tahun 2022.

 

B. Pemeriksaan keketatan pembumian bolt

Panggilan balik ini adalah sebagai langkah keselamatan berjaga-jaga untuk memeriksa pengetatan pembumian bolt yang boleh menyebabkan abah-abah wayar longgar. Ini juga boleh menyebabkan terminal menjadi lemah dan mengakibatkan enjin terhenti semasa memandu atau tidak dapat menghidupkan enjin selepas kereta berhenti. Model yang terjejas ialah 343 unit HR-V tahun 2020 dan 116 unit BR-V tahun 2021.

 

"Honda Malaysia memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh pelanggan yang terjejas dan menjamin bahawa semua model pengeluaran dan jualan semasa tidak terjejas dalam penarikan balik produk ini,'' kata syarikat itu dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Sehingga hari ini kata Honda Malaysia, tiada insiden kemalangan atau kecederaan yang disebabkan oleh isu ini dilaporkan dalam Malaysia.


 

honda

 


"Syarikat percaya panggilan balik produk ini perlu kerana keselamatan pelanggan adalah keutamaan Honda Malaysia. Kami akan terus menegakkan ketelusan dan mengetatkan kawalan untuk pelanggan.

 

"Semua pelanggan yang terjejas akan dimaklumkan melalui surat pemberitahuan, yang akan menyertakan butiran mengenai panggilan balik produk," katanya.

 

Honda Malaysia menggesa semua pelanggan yang terjejas untuk menghubungi mana-mana pengedar Honda untuk membuat temu janji setelah menerima pemberitahuan untuk memeriksa kenderaan mereka dan dibaiki jika perlu, tertakluk kepada ketersediaan alat ganti.

 

Pemeriksaan, pembaikan dan penggantian bahagian yang terjejas adalah percuma dan semua kos berkaitan aktiviti penarikan balik ini akan ditanggung oleh Honda Malaysia.

 

Pemilik kenderaan boleh mendapatkan maklumat atau menyemak status kenderaan mereka pada penarikan balik produk ini dengan menghubungi nombor Bebas Tol Honda Malaysia di 1-800-88-2020. - DagangNews.com