KUALA LUMPUR 3 Jan – Hong Seng Consolidated Berhad yang tersenarai di Malaysia bercadang untuk mengambil alih baki 40% pegangan dalam Neogenix Laboratoire Sdn Bhd pada harga RM3.4 juta susulan potensi pertumbuhannya.
Menurut kenyataannya kepada Bursa Malaysia hari ini, HS Bio Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Hong Seng, telah memeterai perjanjian penjualan saham (SSA) dengan Dr. Kuan Chee Sian dan Joveen Neoh Wan Fen, untuk memperoleh 80,000 saham biasa dalam Neogenix Lab, mewakili 40% kepentingan ekuiti dalam Neogenix Lab.
Cadangan pengambilalihan akan dimuktamadkan sepenuhnya secara tunai melalui dana yang dijana secara dalaman Hong Seng. Selepas penyiapan SSA, Neogenix Lab akan menjadi anak syarikat milik penuh Hong Seng.
Pengarah Eksekutif Hong Seng, Christopher Chan berkata, kumpulan percaya bahawa cadangan pengambilalihan itu akan menguntungkan kerana telah membantu perniagaan berkembang dengan kehadiran ketika ini di Lembah Klang, wilayah Utara, Sabah dan Sarawak.
‘’Hasilnya, Neogenix Lab kini menunjukkan hasil positif daripada pertumbuhan sinergi dengan pelbagai spektrum penjagaan kesihatan kami," ujar beliau.
Menurut Chan, cadangan pengambilalihan Neogenix Lab membolehkan Kumpulan mempunyai kawalan penuh dan meraih faedah keuntungan tambahan masa depan memandangkan potensi pertumbuhannya.
Satu lagi aspek utama SSA termasuk pengekalan kepimpinan strategik utama di Neogenix Lab seperti Dr Kuan dan Joveen, para Pengasas Neogenix Lab, yang akan kekal bersama Kumpulan dan menerajui perniagaan dan operasi bahagian. – DagangNews.com