Hong Seng bina loji getah nitril butadiena RM3 bilion di Kedah Rubber City | DagangNews Skip to main content

Hong Seng bina loji getah nitril butadiena RM3 bilion di Kedah Rubber City

PUTRAJAYA 1 Nov – Hong Seng Consolidated Berhad menyasarkan kapasiti pengeluaran penuh loji getah nitril butadiena (NBL) baharu milik anak syarikatnya, Hong Seng Industries Sdn Bhd (HSI) di Bandar Getah Kedah yang bernilai RM3 bilion, sebanyak 960 kilo tan setahun.

 

Fasa pertama 240 KTPA dijangka dapat dimulakan pengeluaran komersialnya menjelang suku kedua tahun 2024.

 

Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pembangunan KRC bukan sahaja memberi wajah baharu kepada landskap perindustrian sedia ada di negeri Kedah, malah akan menjana peluang pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi kepada penduduk tempatan.

 

‘’Saya amat optimis projek pembangunan strategik berimpak tinggi yang dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) itu mampu menarik pelabur dari dalam dan luar negara berdasarkan potensi pelaburan jangka panjangnya, selain daripada membawa banyak manfaat kepada ekonomi tempatan,’’ katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah loji NBL itu di sini hari ini.

 

Yang turut hadir ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato' Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Datuk Seri Jebasingam Issace John.

 

Sementara itu, Jebasingam berkata, perkongsian dalam bentuk pemindahan teknologi dan pembangunan rantaian bekalan antara HSI dan rakan kongsi teknologi globalnya serta Penang Port adalah bukti keyakinan pelabur terhadap KRC.

 

‘’Ahli Akademik di NCER juga akan dapat bekerjasama dengan pemain industri dalam bidang R&D dan penerokaan teknologi baharu terutamanya dalam bidang kimia termaju,’’ katanya.

 

Untuk menerajui projek NBL, HSI menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Induk & Lesen dengan Pacific Hemisphere Sdn Bhd (PCF) sebagai penyedia teknologinya.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Hong Seng, Dato' Seri Teoh Hai Hin berkata, projek perdana ini akan meletakkan Hong Seng sebagai pengeluar nitril senaraian awam dan berskala besar pertama di Malaysia, yang mana seterusnya menjadi pengilang sarung tangan terbesar di dunia.

 

“Ini adalah pencetus perubahan KRC, kerana ia menyumbang kepada pengurangan jejak karbon dalam proses rantaian bekalan dan peningkatan pembangunan ekonomi sosial di wilayah utara Malaysia,’’ ujarnya.

 

Di samping itu kata beliau, ia akan mengurangkan import lateks nitril rantau tempatan dan defisit perdagangan negara sebanyak kira-kira RM5 bilion, mencetuskan sehingga RM5 bilion pelaburan swasta dan 1,600 peluang pekerjaan akan diwujudkan daripada semua pelaburan ini, yang mana akan menjadi pemangkin pemulihan ekonomi bagi mereka yang telah terjejas oleh pandemik.

 

Menurutnya, PCF sebelum ini telah bekerjasama dengan pengeluar NBL di AS, Eropah, China dan Malaysia, dan kini mereka akan bertanggungjawab membangunkan teknologi NBL termaju yang akan digunakan Hong Seng.

NBL yang dihasilkan oleh Hong Seng akan direka bentuk untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam pasaran sarung tangan hari ini, sambil mematuhi piawaian kualiti antarabangsa.

 

‘’Ia mencipta produk akhir dengan karektoristik dan ciri fizikal yang sangat baik yang mana memberikannya kelebihan daya saing berbanding pilihan yang ada dalam pasaran pada masa ini,” kata Teoh.

 

 

hong seng
Muhammad Sanusi Md Nor (tiga dari kanan) dan Dato' Seri Mahdzir Khalid (dua dari kanan) menyaksikan majlis memeterai perjanjian antara Hong Seng dengan PCF di Putrajaya, hari ini.

 

Dalam acara berasingan, anak syarikat milik penuh Hong Seng, HS Petchem Logistics Sdn Bhd, secara rasmi menerima Surat Tawaran daripada Penang Port Sdn Bhd untuk menyewakan sebidang 12,140 meter persegi tanah pajakan selama 20 tahun. Ini adalah untuk membina dan mengendalikan kemudahan ladang tangki bagi penyimpanan bahan mentah bagi bahan teras untuk pengeluaran lateks nitril serta menyediakan perkhidmatan logistik bersepadu.

 

Syarikat berkata, disebabkan peningkatan dalam permintaan sarung tangan nitril, bahan mentah yang diperlukan juga mengalami kekurangan bekalan yang teruk, oleh itu dengan menubuhkan kemudahan ladang tangki bahan mentah sendiri, Hong Seng akan dapat menguasai pasaran yang besar dan mengisi ruang dalam rantaian bekalan. Pembinaan itu dijangka siap dalam tempoh 18 bulan selaras dengan permulaan pengeluaran projek NBL.

 

Menyingkap kembali, Hong Seng telah menerima Surat Tawaran pada 25 Jun 2021 yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk menyewakan semula 102.6 ekar tanah perindustrian yang terletak di Kedah Rubber City untuk tempoh 60 tahun bagi tujuan penubuhan kilang pembuatan NBL. – DagangNews.com