KUALA LUMPUR 7 Feb - Hong Seng Consolidated Bhd. telah menerima surat hasrat (LOI) daripada Mitsui & Co (Malaysia) Sdn. Bhd. untuk bekerjasama dalam perniagaan lateks nitril butadiene (NBL) Hong Seng di Kedah Rubber City dan perkhidmatan bersepadu logistik di Pulau Pinang.
Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, Hong Seng berkata, LOI itu akan mewujudkan kerjasama eksklusif antara kedua-dua pihak untuk memudahkan rundingan terus bagi perkongsian strategik itu.
"Kerjasama strategik ini akan mengukuhkan lagi pasaran Mitsui di Malaysia dan membolehkan Hong Seng memanfaatkan kepakaran dan rangkaian global Mitsui dalam industri bekalan bahan kimia," katanya.
Pada 25 Jun 2021, anak syarikat milik penuhnya, Hong Seng Industries Sdn. Bhd. memeterai perjanjian subpajakan dengan dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk memajak tanah perindustrian di Kedah Rubber City yang mana ia merancang untuk membina dan mengendalikan kilang pembuatan lateks nitril butadiene.
Satu lagi anak syarikat milik penuh Hong Seng, HS Petchem Sdn. Bhd. turut menerima surat tawaran pada 1 November 2021 yang dikeluarkan Penang Port Sdn. Bhd. untuk subpajakan sebahagian tanah perindustrian yang terletak di Prai Bulk Cargo Terminal, Pulau Pinang, untuk membina ladang tangki untuk penyimpanan bahan mentah dan pembekalan butadiene dan petrokimia acrylonitrile serta penyediaan perkhidmatan logistik untuk penghantaran bahan mentah tersebut.
Menurut Hong Seng, menerusi LOI itu, Mitsui berhasrat untuk menyediakan pusat sehenti bagi pengurusan rantaian bekalan bagi bahan mentah untuk kilang NBL.
"Mitsui juga akan membiayai penubuhan ladang tangki oleh HS Petchem dari segi menyediakan bahan mentah dan turut memberi sokongan bukan sahaja dari segi bekalan bahan mentah tetapi potensi perniagaan lain bagi projek ini," tambahnya.
Mitsui adalah anak syarikat Mitsui & Co. Ltd., syarikat pelaburan dan dagangan global yang berpangkalan di Jepun dan memiliki kepelbagaian portfolio perniagaan merentasi 63 buah negara di Asia, Eropah, Amerika Utara, Amerika Selatan, Amerika Utara, Asia Barat, Afrika dan Oceania. - DagangNews.com