Honor Malaysia lantik TM One sebagai penyedia perkhidmatan awan di 3 benua | DagangNews Skip to main content

Honor Malaysia lantik TM One sebagai penyedia perkhidmatan awan di 3 benua

 

 

KUALA LUMPUR 13 Sept. - Telekom Malaysia Bhd. (TM), melalui unit penyelesaian perniagaan perusahaan dan sektor awamnya TM One, baru-baru ini bergabung tenaga dengan Honor Technology (Malaysia) Sdn. Bhd., untuk menyediakan perkhidmatan awan di 3 benua merangkumi Asia, Afrika dan Amerika Latin. 

 

Menerusi kerjasama strategik ini, Honor sebagai penyedia peranti pintar global terkemuka menggunakan penyelesaian awan TM One – α Edge (disebut sebagai Alpha Edge), untuk melayani pelanggannya di benua tersebut.

 

Perkhidmatan awan komprehensif yang menyeluruh ini dipilih oleh Honor Malaysia untuk mengehos platform e-dagang dan penyelesaian-penyelesaian digital, dalam usaha berterusan meluaskan kewujudannya dalam segmen pasaran premium. 

 

Pada masa ini, Honor mempunyai lebih 3,000 pusat khidmat pelanggan, 2,000 wakil pusat panggilan dan hampir 8,000 pekerja di seluruh dunia bagi menawarkan perkhidmatan yang premium dan efisien kepada
pengguna di lebih 100 pasaran. 

 

TM ONE α Edge bersedia memberikan fleksibili yang diperlukan untuk menskala secara efektif sebarang permintaan trafik atau cabaran perniagaan yang tidak dapat dijangka.

 

Naib Presiden Eksekutif TM One, Shazurawati Abd Karim berkata, terdorong oleh pandemik yang berlaku, lonjakan luar biasa tahap penggunaan awan oleh kebanyakan perniagaan terutama yang berkaitan dengan melayani pasaran pengguna, merupakan petanda baik kepada pertumbuhan dan pemulihan masa hadapan. 

 

Katanya, kerjasama ini menandakan satu lagi kejayaan pertumbuhan penting dalam memperkukuh kedudukan
Malaysia di peringkat global sebagai destinasi digital dan hab perniagaan global pilihan. 

 

"Kami adalah penyedia perkhidmatan Awan yang ideal untuk negara dan ini merupakan satu lagi bukti peranan utama kami sebagai pemacu Digital Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Ke arah memastikan perkhidmatan yang stabil dan terjamin, beberapa aspek penting dalam portfolio α Edge untuk Honor Malaysia merangkumi pasukan teknikal khusus yang berkhidmat 24 jam seminggu, dengan perkhidmatan profesional dan terurus. 

 

Sebagai tambahan kepada rangkaian global TM One yang mantap dan infrastruktur sambungan digital yang terjamin, perkhidmatan ini beroperasi melalui Pusat Data TM Oone bertaraf Tier-III, untuk memastikan
manfaat-manfaat seperti latensi rendah berserta kebolehjangkauan kepada pelanggan.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Honor Malaysia, Kee Ee Neng berharap dapat terus menyediakan teknologi terkemuka dan mengembangkan lebih banyak peluang bersama TM One.

 

“Ini adalah saat yang membanggakan dapat berganding bahu dengan TM One untuk menjayakan penyelesaian digital," katanya.

 

α Edge, sebahagian daripada TM One Cloud α, telah direka untuk menyediakan pemindahan beban kerja kritikal ke perkhidmatan Awan dengan lancar, pantas, mudah, kos efektif dan tanpa kekangan. 

 

Ia bersedia untuk menyokong platform IT dan penyelesaian digital Honor Malaysia dengan keupayaan Kepintaran Buatan (AI), pemantauan sumber dan pengurusan akses identiti, serta alat keselamatan dan sokongan keselamatan siber tercanggih.

 

Kerjasama strategik dengan Honor Malaysia ini memanfaatkan penyelesaian perkhidmatan awan menyeluruh terkemuka TM One yang direka untuk perniagaan. - DagangNews.com