Hormat titah nasihat Raja-Raja Melayu, rakyat mahukan kestabilan politik | DagangNews Skip to main content

Hormat titah nasihat Raja-Raja Melayu, rakyat mahukan kestabilan politik

Al-Syiekh Abdul Halim Abdul Kadir
Al-Syiekh Abdul Halim Abdul Kadir 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mengajak seluruh rakyat Malaysia terutama para pemimpin parti-parti politik untuk menghormati titah nasihat yang disampaikan oleh Raja-Raja Melayu demi kestabilan pentadbiran negara. 

 

Yang di-Petua PUM, Datuk Al-Syiekh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, rakyat sudah bosan dengan gelagat para pemimpin politik yang saban hari memikirkan untuk melakukan tindakan untuk mendapatkan kuasa termasuk  menarik sokongan kepada Perdana Menteri dan seumpamanya.

 

Katanya, setiap tindakan yang dilakukan mestilah selaras dengan undang-undang yang ada.

 

"Seluruh rakyat Malaysia tahu bahawa Perdana Menteri telah secara terbuka menyatakan akan melakukan undi percaya di parlimen pada bulan September nanti. 

 

"Jadi kenapa perlu untuk mendesak sedangkan komitmen telah dinyatakan dengan jelas? Hormatilah ruang yang diberikan di mana Perdana Menteri yang begitu terbuka menyatakan untuk mendapatkan keabsahan sokongan terhadapnya ditentukan di Parlimen," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu,  pemimpin parti politik seharusnya memikirkan tentang kemaslahatan rakyat terutama apabila berlakukanya kes-kes kematian yang tidak mengenal usia termasuklah golongan muda.

 

Selain itu, beberapa pakej untuk memulihkan keadaan ekonomi telah diperkenalkan yang memerlukan komitmen semua untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN). 

 

Katanya, perkara tersebut penting untuk menjamin kesejahteraan negara dan juga rakyat secara keseluruhannya.

 

"Adalah lebih afdal dalam masa ini untuk para pemimpin parti-parti politik menggalakkan seluruh rakyat Malaysia untuk mengambil vaksin sebagai salah satu daripada langkah untuk keluar daripada wabak yang sedang dihadapi di dunia ketika ini. 

 

"Hentikan pergeseran merebut kuasa. PUM mengesyorkan agar parti-parti politik dalam kerajaan PN dan parti-parti pembangkang untuk kembali ke meja rundingan bagi sama-sama membantu membangun negara. Bukannya terus bersengketa merebut kuasa, kerana perbalahan itu boleh meruntuhkan negara," katanya lagi.

 

Kenyataan yang dikeluarkan itu turut merujuk kepada  beberapa laporan media mengenai titah nasihat beberapa Sultan Negeri-Negeri yang memberi pandangan terhadap keadaan semasa politik negara.

 

Antaranya adalah Sultan Johor yang menzahirkan rasa kecewa baginda terhadap pemimpin parti politik yang sentiasa memberikan tekanan untuk merebut kuasa dengan cara yang sedikit sebanyak mengganggu pentadbiran kerajaan.

 

Sementara itu, Pemangku Raja Pahang juga turut menzahirkan perkara yang hampir sama di mana sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk berebut kuasa dan bersengketa sesama sendiri ketika negara sedang bergelut dengan pandemik COVID-19. - DagangNews.com