Hubilo, VMY jalin kerjasama untuk platform acara digital | DagangNews Skip to main content

Hubilo, VMY jalin kerjasama untuk platform acara digital

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Mac - Platform acara langsung, maya dan hibrid, Hubilo memeterai perjanjian perkongsian dengan pembekal komunikasi perniagaan terkenal Malaysia, V-Cube Malaysia (VMY) bagi mencipta platform acara profesional secara digital.

 

VMY merupakan pakar dalam mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) maya, e-undi, persidangan dan sistem pengurusan pembelajaran (LMS).

 

Melalui perkongsian ini, VMY akan memanfaatkan keupayaan Hubilo untuk mengubah tawaran mesyuarat mereka secara digital di Malaysia. 

 

VMY akan mempunyai akses kepada suite kelas dunia yang penuh dengan alat penglibatan dan pengalaman mengasyikkan persidangan interaktif, langsung, maya dan hibrid, digabungkan dengan kepakaran tempatan VMY dalam pengurusan projek dan perkhidmatan sokongan di lapangan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif VMY, Datuk Loh Yuen Tuck berkata, situasi pandemik/endemik masih tidak dapat diramalkan walaupun terdapat rancangan untuk membuka sempadan.

 

"Namun, untuk ramai penganjur acara, merancang acara yang berjaya mesti diteruskan. Para penganjur kini boleh menggunakan format hibrid untuk menggabungkan kedua-dua dunia sambil memastikan penglibatan antara hadirin kekal diutamakan. 

 

"Kesinambungan perniagaan dan pengalaman pengguna yang mengasyikkan boleh dijamin melalui sebuah platform digital seperti Hubilo yang senang digunakan dan amat kaya dengan alat penglibatan.

 

"Kami amat teruja untuk bekerjasama dengan Hubilo kerana ini akan membenarkan kami untuk mentransformasi menjadi sebuah pusat sehenti berbilang saluran kepada semua bentuk pengalaman digital perusahaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

vgm
Datuk Loh Yuen Tuck

 

 

Beliau berkata, terdapat potensi besar untuk syarikat memanfaatkan Hubilo sebagai platform penglibatan komuniti untuk mengadakan persembahan, pertunjukan dan pelancaran hibrid dengan segera.

 

"Ia juga sebagai platform penglibatan komuniti langsung dan interaktif 24/7 untuk mendapat rangkaian yang lebih baik, produktiviti yang lebih tinggi, pembinaan jenama dan lebih banyak pemacu hasil saluran omni," katanya.

 

Naib Presiden Kanan, Jualan dan Kejayaan Hubilo, Greg Volm berkata, syarikat sedang mengembangkan operasi globalnya dan melihat Malaysia sebagai satu lagi peluang penting dan menarik untuk mengembangkan ruang acara maya dan hibrid di Asia Pasifik. 

 

"Kami teruja untuk bekerjasama dengan sebuah pemain terulung domestik seperti VMY untuk mengadakan acara inovatif, mengasyikkan dan menarik di platform kami serta membina komuniti yang lebih kuat dengan perkongsian ini," katanya.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai perkongsian VMY dan Hubilo, sila kunjungi https://vcubemyhubilo.com. - DagangNews.com