KUALA LUMPUR 28 Okt - Hubline Bhd. memperoleh kontrak bernilai RM22.05 juta untuk menyediakan perkhidmatan helikopter kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Sabah sempena pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, Hubline berkata, kontrak itu yang diperoleh menerusi anak syarikatnya, Layang Layang Aerospace Sdn. Bhd. (LLA) adalah sah bagi tempoh selama enam bulan.
Di bawah kontrak itu, LLA bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan helikopter termasuk bekalan dan peralatan operasi penerbangan serta perancangan dan penyediaan operasi penerbangan.
"Selain itu, LLA juga akan menyediakan pelaksanaan jadual dan operasi penerbangan serta perancangan dan pelaksanaan tindak balas kecemasan.
"LLA juga digalakkan untuk melaksanakan program Latihan Profesional dan Pendidikan untuk Usahawan Berkembang (PROTEGE) seperti yang ditetapkan oleh kerajaan dan diluluskan oleh Sekretariat PROTEGE," katanya.
Menurut Hubline, kontrak itu dijangka tidak memberi kesan kepada modal saham terbitan, sebaliknya akan menyumbang secara positif kepada kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2023. - DagangNews.com