Hup Seng diunjur berdepan prospek mencabar kesan kebergantungan terhadap komoditi global - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Hup Seng diunjur berdepan prospek mencabar kesan kebergantungan terhadap komoditi global - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Sept - Hup Seng Industries Berhad dijangka terus berdepan prospek mencabar berikutan kebergantunganya terhadap komoditi global seperti gandum, minyak sawit mentah dan gula.

 

MIDF Research berkata, kumpulan itu tidak memunyai alat lindung nilai bagi mebgurangkan risiko ketidakstabilan itu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pengurusan menyifatkan kenaikan harga adalah pilihan terakhir untuk mengatasi peningkatan kos serta mengekalkan margin keuntungan.

 

Sebelum ini, Hup Seng melaksanakan kenaikan harga pada 2QFY22 bagi mengimbangi kenaikan kos tetapi jualan mereka merosot pada awalnya sebelum beransur pulih dalam masa setahun.

 

"Ia menunjukkan bahawa kenaikan harga hanya dilakukan sebagai langkah terakhir bagi menguruskan perbelanjaan yang meningkat.

 

"Pihak pengurusan tidak meramalkan sebarang kenaikan harga selanjutnya tetapi berhasrat mengekalkan keuntungan melalui pengurusan kos yang berkesan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

MIDF Research berkata, kumpulan itu mengulangi komitmennya untuk meningkatkan kecekapan kos pengeluaran bagi mengekalkan margin keuntungannya.

 

Katanya, Hup Seng telah menggantikan jentera lama bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran, mencapai ini melalui langkah-langkah seperti mengurangkan kos bahan api, meningkatkan kualiti dan kebersihan, meminimumkan sisa, dan mengurangkan pelepasan karbon dari segi alam sekitar.

 

"Selain itu, ia juga bertujuan mengurangkan pembaziran bagi menjimatkan kos," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 94 sen sesaham. - DagangNews.com