Hussamuddin umum persaraan selaku Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf berkuat kuasa 1 November 2022 | DagangNews Skip to main content

Hussamuddin umum persaraan selaku Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf berkuat kuasa 1 November 2022

Datuk Hussamuddin Yaacub
oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

SHAH ALAM 25 Okt - Selepas empat dekad menerajui syarikat, pengasas Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub mengumumkan persaraan sebagai Pengerusi dan Penerbit berkuat kuasa 1 November 2022.

 

Turut mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa pada tarikh yang sama ialah Timbalan Pengerusi, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

 

Meksipun Hussamuddin dan Muhammad Nasir melepaskan jawatan tetapi kedua-dua mereka akan memainkan peranan selaku penasihat dan penasihat bersama syarikat.

 

Pada masa sama, mereka juga akan melepaskan jawatan dalam Lembaga Pengarah dan syarikat akan melantik lima Ahli Lembaga yang baharu iaitu Firdaus Hussamuddin, Akmal Eirfan Mohamed Fauzi, Farah Hussamuddin, Azizi Fikry dan Izzat Izhar Muhammad Nasir.

 

Kekosongan yang ditinggalkan Hussamuddin akan diisi Firdaus yang akan menggantikan beliau sebagai Pengerusi Kumpulan yang baharu.

 

Firdaus sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif untuk Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd.

 

karangkraf
Datuk Muhammad Nasir Hamzah

 

Hussamuddin berkata, sejak empat dekad lalu, Karangkraf telah berkembang dengan kukuh dan berjaya bertahan dalam gelombang digital yang melanda dunia sejak 2013 yang menggoncangkan banyak industri media terutama media cetak.

 

“Kini, saya rasa sudah tiba masanya untuk kami berundur dan menyerahkan baton kepada generasi yang lebih muda kerana generasi mereka boleh membawa syarikat ke tahap yang lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Kumpulan Media Karangkraf juga ingin mengumumkan beberapa perubahan struktur dalam syarikat yang juga akan berkuat kuasa pada 1 November 2022.

 

Di peringkat kumpulan, Akmal Eirfan akan dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Kumpulan (Korporat, Kewangan dan Pengurusan Risiko) dan sebelum ini  beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif untuk Ultimate Print Sdn Bhd.

 

Selain itu, Farah yang sebelum ini menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Karangkraf Sdn. Bhd. dilantik sebagai Pengarah Eksekutif/Penerbit/CEO Divisi Media yang merangkumi Sinar Harian, Sinar Daily dan semua aset media milik Karangkraf.

 

Pada masa sama, Azizi akan dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Bahagian Percetakan dan Pembuatan, yang merangkumi Ultimate Print dan Karangkraf Medicare Sdn Bhd. Beliau sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pegawai Operasi Ultimate Print.

 

Dalam perkembangan sama, Firdaus juga akan dilantik sebagai Pengarah Eksekutif, Penerbit Kumpulan Buku dan Penerbitan Al-Quran yang merangkumi Karya Bestari, Grup Buku Karangkraf dan anak syarikatnya. 

 

Beliau akan dibantu oleh Izzat Izhar Muhammad Nasir yang akan dilantik sebagai Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi bahagian. - DagangNews.com