Hutang Malaysia kini berjumlah RM1.39 trilion termasuk liabiliti - Laporan Ketua Audit Negara | DagangNews Skip to main content

Hutang Malaysia kini berjumlah RM1.39 trilion termasuk liabiliti - Laporan Ketua Audit Negara

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 10 Okt - Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan hutang negara kini berjumlah RM1.39 trilion.

 

Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radhi berkata ia meningkat sebanyak RM 94.1 bilion tahun lepas, iaitu 7.2 peratus lebih tinggi berbanding yang dicatatkan pada 2021.

 

“Nisbah liabiliti persekutuan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2022 ialah 78.1 peratus, menurun berbanding 84.3 peratus pada 2021,” katanya dalam laporan yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.
 

Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radhi
                     Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radhi

 


Daripada segi pendapatan, negara mencatat hasil berjumlah RM294.357 bilion tahun lepas, RM60.605 bilion atau 25.9 peratus lebih daripada tahun sebelumnya.

 

"Sebanyak 70.9 peratus daripada hasil negara adalah daripada cukai, manakala baki 27.1 peratus adalah daripada hasil bukan cukai.

 

“Jumlah hasil kerajaan pusat pada 2022 ialah RM294.357 bilion, meningkat RM60.605 bilion atau 25.9 peratus berbanding RM233.752 bilion pada 2021.

 

“Hasil kerajaan persekutuan terdiri daripada RM208.765 bilion hasil cukai atau 70.9 peratus, RM79.609 bilion hasil bukan cukai atau 27.1 peratus, RM5.296 bilion terimaan bukan hasil atau 1.8 peratus dan RM0.687 bilion atau 0.2 peratus hasil daripada Wilayah Persekutuan," katanya.

 

Subsidi

Malaysia telah membelanjakan lebih daripada tiga kali (322 peratus) untuk subsidi pada 2022, perbezaan yang mengejutkan berbanding tahun sebelumnya.

 

Wan Suraya berkata pentadbiran persekutuan telah membelanjakan RM55.443 bilion pada 2022, iaitu peningkatan sebanyak RM42.309 bilion berbanding 2021.

 

Beliau berkata sebahagian besar daripadanya dibelanjakan untuk subsidi petroleum dengan 81.5 peratus.

 

“Perbelanjaan subsidi direkodkan sebanyak RM55.443 bilion, meningkat sebanyak RM42.309 bilion atau 322.1 peratus berbanding RM13.134 bilion pada 2021.

 

"Subsidi produk petroleum direkodkan sebagai perbelanjaan subsidi tertinggi berjumlah RM45.184 bilion atau 81.5 peratus daripada jumlah perbelanjaan subsidi," katanya. - DagangNews.com