I-Berhad cadang lanjut tempoh RCULS untuk tiga tahun lagi | DagangNews Skip to main content

I-Berhad cadang lanjut tempoh RCULS untuk tiga tahun lagi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Mei - I-Berhad mencadangkan untuk menyambung tempoh langganan saham pinjaman tidak bercagar boleh tukar boleh tebus (RCULS) yang dijadualkan berakhir pada Ogos 2022 untuk tempoh tiga tahun lagi.

 

Menurut kenyataan kepada Bursa Malaysia, tindakan itu dibuat sebagai usaha untuk menyediakan dana untuk pelbagai aktiviti dan menyokong pertumbuhan dua digit kumpulan. 

 

Sumurwang Sdn. Bhd. dan Sumuracres Sdn. Bhd. yang menerbitkan RCULS bernilai RM132 juta dan RM69 juta sudah memaklumkan kepada kumpulan itu bahawa mereka tidak mempunyai sebarang niat untuk menukarkan RCULS itu sebelum atau pada tarikh matang iaitu 26 Ogos 2022.  

 

Ia adalah berdasarkan terma perjanjian dan perjanjian tambahan, melainkan ia ditebus, ditukar atau dibatalkan, I-Berhad dikehendaki menebus sepenuhnya kedua-dua RCULS itu pada tarikh matang secara tunai.

 

Pengerusi I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong berkata, pelbagai projek pembangunan berkembang dengan pesat selain pertambahan jumlah pengunjung ke taman tema dan pusat beli belah sekli gus menyumbang kepada kemajuan I-Berhad.

 

"Kami sedang membina pelbagai pembangunan dan pelaburan baharu dalam menarik lebih ramai pengunjung. 

 

"Penyambungan RCULS akan memastikan kami memiliki dana yang mencukupi untuk kami kembali ke landasan pembangunan yang tepat," katanya, hari ini.

 

Kumpulan itu akan terus fokus kepada segmen hartanah, hiburan dan pelaburan hartanah terutama dengan kehadiran Hotel DoubleTree by Hilton, Pusat Konvensyen Antarabangsa, ruang pejabat premium, premis runcit (untuk bank dan institusi kewangan) dan kediaman BeCental yang akan dibangunkan di Finance Avenue di i-City.

 

Perancangan itu hadir selepas mereka berjaya mendapatkan Maybank sebagai penyewa utama dengan memindahkan lebih 1,500 kakitangan di Ibu Pejabat Kuala Lumpur ke menara Mercu Maybank yang terletak di Finance Avenue di dalam i-City.

 

Pembukaan ekonomi dan pembukaan sempadan antarabangsa secara beransur-ansur juga akan memanfaatkan DoubleTree by Hilton i-City dengan hotel itu dijadualkan dibuka pada Q3FY22.
 

Kediaman BeCentral dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM650 juta yang terletak di Finance Avenue i-City juga telah menarik minat yang positif. - DagangNews.com