I-Bhd. catat untung RM1.52 juta pada suku kedua dipacu segmen pelaburan hartanah | DagangNews Skip to main content

I-Bhd. catat untung RM1.52 juta pada suku kedua dipacu segmen pelaburan hartanah

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Pemaju induk i-City, I-Bhd. kembali merekodkan untung bersih sebanyak RM1.52 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022, berbanding kerugian bersih RM3.44 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pada suku berkenaan, pendapatannya meningkat kepada RM20.2 juta daripada RM16.9 juta disumbangkan terutamanya menerusi segmen pelaburan hartanah, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Ini menyaksikan untung bersih bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2022 berjumlah RM2.95 juta berbanding kerugian bersih, RM7.98 juta manakala pendapatan meningkat kepada RM38.48 juta daripada RM30.06 juta.

 

Perolehan bagi segmen pembangunan hartanah pada suku berkenaan disumbangkan terutamanya daripada pengiktirafan jualan pembangunan terkini, BeCentral manakala kerugian disebabkan kos kewangan.

 

Segmen pelaburan hartanah merekodkan pendapatan lebih tinggi pada suku kedua berikutan kadar penghunian yang lebih tinggi menerusi bangunan korporat, Mercu Maybank.

 

Sementara itu, segmen rekreasi kumpulan terus mencatatkan hasil dan keuntungan yang lebih tinggi berbanding suku kewangan yang sama hasil daripada keyakinan dan sentimen pengguna yang menggalakkan.

 

Mengenai prospek kumpulan, I-Bhd. optimis permintaan kukuh akan berterusan dan sentimen yang semakin baik dalam pasaran hartanah memandangkan ekonomi mula meraih kembali momentum.

 

Katanya, kumpulan akan terus memberi fokus kepada pengewangan inventori dan pelancaran produk baharu akan ditamatkan secara berperingkat mengikut sentimen pasaran semasa.

 

"Kumpulan terus memberi tumpuan kepada zon antarabangsa yang diberikannya, Selangor dengan meningkatkan dan mengekstrak nilai penuh daripada pembangunan di i-City Golden Triangle (i-City GT) sebagai ultrapolis terancang induk untuk menawarkan peluang perniagaan dan pelaburan baharu kepada pelabur asing dan tempatan serta menambah baik sumbangan daripada perniagaan terasnya yang lain.

 

"Ini ditunjukkan oleh Maybank yang menubuhkan pejabat ganti tetapnya di Mercu Maybank setinggi 33 tingkat di i-City Finance Avenue ," katanya.

 

i-City Finance Avenue terdiri daripada Mercu Maybank, DoubleTree by Hilton Hotel, Hill10 dan kediaman BeCentral yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

 

Selain itu, ia turut merangkumi pusat konvensyen antarabangsa, pejabat dan ruang niaga serta dilengkapi pembangunan seperti Central i-City Mall, Best Western i-City Hotel, Residential Towers, pusat data dan taman tema rekreasi. - DagangNews.com