KUALA LUMPUR 17 Jan - Iconic Worldwide Berhad mencatat kejayaan baharu apabila melancarkan pembukaan kemudahan besar-besaran pengeluaran sarung tangan dan pelitup muka yang bernilai RM200 juta di Batu Kawan, Pulau Pinang.
Kilang yang dibina di atas tanah seluas 5.5 ekar itu dijangka menghasilkan kapasiti pengeluaran minimum sebanyak 3.3 bilion keping sarung tangan dan 220 juta keping pelitup muka pakai buang setahun.
Pengarah Urusan Iconic Worldwide, Datuk Tan Kean Tet berkata, perasmian kilang itu dibuat dalam tempoh kurang sebulan selepas Iconic Worldwide memperoleh kelulusan pemberitahuan prapasaran 510 (k) Pentadbiran Ubat-Ubatan dan Makanan (FDA) Amerika Syarikat (AS) untuk mengedarkan sarung tangan gred perubatan di seluruh AS.
Jelasnya, syarikat itu yakin permintaan untuk sarung tangan dan pelitup muka akan terus meningkat lebih-lebih lagi dengan kemunculan varian baharu seperti Omicron, di sebalik langkah vaksinasi yang meluas di seluruh dunia.
"Walaupun Iconic Worldwide agak baharu dalam pasaran pembuatan PPE, pengiktirafan antarabangsa kami, termasuk daripada FDA AS dan pertanyaan menggalakkan daripada bakal pelanggan, menjadikan kami salah satu peraih manfaat utama daripada permintaan berterusan untuk PPE ini.
"Kilang ini memulakan operasi pengeluaran sarung tangan getah dengan enam barisan celupan sarung tangan berganda dan akan meningkat kepada 12 barisan celupan sarung tangan berganda menjelang Mac 2022. Selain itu, 20 barisan pengeluaran pelitup muka perubatan beroperasi sejak Julai 2021," katanya dalam kenyataan.
Pelancaran kilang berautomasi tinggi itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow
Menurut Kean Tet, kumpulan sudah menerima tempahan besar-besaran untuk sarung tangan dan pelitup muka kebanyakannya dari AS, Eropah, Afrika dan Asia, yang meletakkan Iconic Worldwide di landasan yang betul untuk menjadi peserta utama dalam pasaran global dalam tempoh lima tahun ini.
Beliau berkata, pada suku ketiga dan keempat tahun kewangan semasanya, Iconic Worldwide akan menghantar kira-kira 500 juta keping sarung tangan nitril ke AS, Eropah, Afrika, Timur Tengah dan Asia Tenggara.
"Jualan akan difaktorkan sebahagiannya ke dalam akaun tahun kewangan 2022 kumpulan, dan direalisasikan sepenuhnya dalam tahun kewangan 2023.
"Apabila 12 barisan pengeluaran sarung tangan dan 20 barisan pengeluaran pelitup muka kami beroperasi sepenuhnya, kami menjangka untuk menjana potensi pendapatan dan keuntungan kepada syarikat untuk tahun-tahun akan datang," katanya.. - DagangNews.com